Pemuda UMNO Perak sedia tawar bantuan kepada pelajar dikompaun

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Jabatan Kesihatan Perak menjalankan siasatan terhadap aduan kompaun yang dikeluarkan kepada pelajar Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng atas kesalahan tidak memakai pelitup muka. (Gambar kecil: Faridzul Azlan)
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Jabatan Kesihatan Perak menjalankan siasatan terhadap aduan kompaun yang dikeluarkan kepada pelajar Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng atas kesalahan tidak memakai pelitup muka. (Gambar kecil: Faridzul Azlan)
A
A
A

IPOH - Sekretariat Undang-Undang dan Perlembagaan Pemuda UMNO Perak sedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada pelajar Kolej Matrikulasi Perak yang dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa seperti ditularkan di media sosial.

Pengerusinya, Faridzul Azlan Abd Shani berkata, pihak sekretariat juga akan mengambil tindakan yang diperlukan bagi pihak pelajar berkenaan kerana difahamkan mereka terkejut dengan tindakan saman tersebut.

Menurut beliau, tindakan itu telah menyebabkan tekanan, gangguan emosi dan psikologi kepada pelajar berkenaan yang sejak lima bulan berada di dalam kawasan asrama berkenaan.

"Kami dimaklumkan bahawa pelajar-pelajar berkenaan sangat terkejut dengan tindakan kompaun yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tersebut.

"Kehadiran pihak berkuasa tersebut sepatutnya tertumpu kepada isu lain di Kolej Matrikulasi berkenaan, namun sebaliknya pula berlaku," katanya katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Faridzul Azlan yang juga Exco Pemuda UMNO berkata, tindakan yang akan diambil tidak berniat untuk mempertahankan, mendakwa atau menghukum mana-mana pihak.

Katanya, suatu penyelesaian yang baik diharap dapat dicapai dalam usaha mengimbangi penggunaan kuasa oleh pihak berkuasa dalam menjalankan tugas dengan keadaan semasa pelajar yang berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di Twitter memaklumkan Jabatan Kesihatan Perak telah menjalankan siasatan berhubung kompaun RM1,500 yang dikeluarkan kepada pelajar Kolej Matrikulasi Perak tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin tular di media sosial Twitter apabila ada beberapa akaun yang mendakwa terdapat pelajar matrikulasi dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur pematuhan standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup mulut di dalam kawasan kolej.

Perkara yang membuatkan ramai berasa kesal adalah pelajar tersebut langsung tidak dibenarkan keluar ke mana-mana sejak semester dibuka dan pihak berkuasa yang masuk ke dalam kolej untuk membuat pemeriksaan telah mengenakan kompaun kepada mereka tanpa budi bicara.

Terdapat juga video menunjukkan pelajar-pelajar matrikulasi itu disaman sehingga membuatkan warganet mempersoalkan tindakan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Jabatan Kesihatan Perak siasat aduan pelajar dikompaun RM1,500