X

Kindly register in order to view this article
!

Dua kemalangan maut tak sampai dua jam

Kemalangan melibatkan sebuah lori dengan sebuah kereta jenis Proton Gen2 di lokasi Jalan Kampung Wa, Dungun, petang Isnin. - Foto Ihsan IPD Dungun
A
A

DUNGUN - Dua kemalangan maut berlaku di sini dalam tempoh kurang dua jam melibatkan pemandu kereta dan penunggang motosikal di lokasi berasingan, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, seorang pemandu kereta maut dalam kemalangan pertama yang berlaku kira-kira jam 12.25 tengah hari melibatkan sebuah kereta jenis Proton Gen2 dengan sebuah lori treler, di Jalan Kampung Wa, Jerangau, di sini.

"Siasatan awal mendapati lelaki berusia 21 tahun dalam perjalanan dari arah Dungun ke Jerangau dan setibanya di lokasi, kenderaan dipandu tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas sehingga masuk ke laluan bertentangan.

"Secara kebetulan datang sebuah lori treler jenis Scania yang dipandu lelaki berusia 43 tahun dari arah Jerangau sebelum kedua-dua kenderaan itu bertembung yang menyebabkan mangsa tersepit.

"Akibat kejadian mangsa yang parah di kepala dan anggota badan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Dungun, di sini, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Selasa.

Kemalangan yang berlaku di kawasan ladang getah berhampiran Kampung Binjai, Dungun, pada Isnin. - Foto Ihsan IPD Dungun (Gamabr kecil: Baharudin Abdullah)
Kemalangan yang berlaku di kawasan ladang getah berhampiran Kampung Binjai, Dungun, pada Isnin. - Foto Ihsan IPD Dungun (Gamabr kecil: Baharudin Abdullah)

Baharudin berkata, dalam kemalangan berasingan iaitu di kawasan ladang getah berhampiran Kampung Binjai, di sini, kira-kira jam 1.30 petang, melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah lori yang membawa muatan pasir.

"Siasatan mendapati mangsa berusia 52 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda di langgar oleh lori membawa muatan pasir jenis Nissan UD dipandu lelaki berusia 35 tahun.

"Kejadian dipercayai berlaku semasa kenderaan berat itu dalam perjalanan menghantar pasir dan setibanya di lokasi yang berbukit dan jalan tidak berturap itu, pemandunya gagal mendaki lalu mengundur ke belakang dan melanggar mangsa yang kebetulan berada di belakang.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan badan dibawa ke Hospital Dungun dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan," katanya.

Kata Baharudin, kedua-dua kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!