Tak perlu tutup semua sekolah

No Image Caption
A
A
A

PAKAR virologi menegaskan tidak wajar sekiranya semua sekolah ditutup walaupun sesebuah negeri itu merekodkan kes harian positif Covid-19 yang tinggi.

Profesor Dr Sazali Mohamad berkata, apa yang perlu dilakukan oleh setiap organisasi pendidikan adalah memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan kendiri pelajar dapat dilaksanakan secara maksimum.

“Sekiranya berlaku juga kes jangkitan, itu memberi makna bahawa pelaksanaan SOP adalah rendah. Maksudnya, masih tidak ketat.

“Jika kegagalan itu berlaku, bukan bermakna semua sekolah perlu ditutup kecuali sekolah yang terlibat (jangkitan Covid-19) sahaja perlu ditutup,” katanya pada Isnin.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Ali Hasan pula berkata, panduan terbaik untuk mengatasi kes Covid-19 ialah kerjasama melibatkan ibu bapa dengan pihak sekolah serta agensi berkaitan.

“Antara tindakan terbaik membendung peningkatan kes ialah melakukan sanitasi secukupnya, tidak hantar anak ke sekolah jika bergejala dan terus amalkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Ibu bapa juga memainkan peranan penting bagi memantau keadaan kesihatan dan kebersihan sekolah agar selamat digunakan oleh semua pelajar yang hadir ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma), Kamsah@Kamal Mohamed berkata, peningkatan kes di sekolah boleh dibendung jika pelajar mematuhi SOP yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Tiada masalah jika patuh SOP. Sekolah berasrama contohnya mempunyai SOP yang lebih ketat iaitu pelawat mahupun ibu bapa tidak dibenarkan sama sekali masuk di kawasan sekolah,

“Ia mengurangkan lagi risiko penularan kes Covid-19 di sekolah berasrama penuh berbanding sekolah harian kerana mereka tidak terlibat dengan kontak luar,” katanya.

Kamsah turut menegaskan keselamatan pelajar paling penting walau apa jua cara pembelajaran.

“Pihak sekolah paling mementingkan keselamatan pelajar. Jika kes naik dan ada arahan untuk tutup sekolah, kami terpaksa tutup,

“Tak kisah belajar di sekolah mahupun PDPR, yang penting pelajar dapat belajar dengan selamat dan sihat,” katanya.