X

Kindly register in order to view this article
!

‘Tolong perkemas PdPR’

Pelajar perlu memastikan mereka dapat mengurus dirinya dengan baik supaya sistem PdPR dapat dijalankan dengan berkesan. Gambar kecil: Mohd Azizee
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta memperkemas sistem pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) jika perkara tersebut dilaksanakan semula susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di sekolah.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, antara perkara penting yang perlu diperkemaskan ialah aspek pentaksiran penguasaan pelajar kerana mereka didapati tidak dapat menguasai pembelajaran dengan sebaiknya semasa sesi PdPR dijalankan sebelum ini.

“Disebabkan PdPR, guru-guru tidak dapat berjumpa pelajar secara fizikal menyebabkan ada pelajar belajar sambil lewa. Jadi, dalam hal ini kita kena ada kaedah pentaksiran yang baik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Azizee berkata, disiplin pelajar menjadi faktor utama kejayaan PdPR sekali gus memastikan mereka menguasai sesuatu mata pelajaran.

Tegasnya, pelajar perlu mengurus diri dengan baik supaya sistem PdPR dapat dijalankan dengan berkesan.

“Pelajar mesti berdisiplin. Kalau tidak ada disiplin, teknologi tinggi sekali pun tidak memberi kesan sebab faktor utama kejayaan PdPR ialah pembelajaran kendiri,” kata pemimpin pertubuhan bukan kerajaan itu.

Selain itu, Mohd Azizee menyarankan KPM menutup semua sekolah yang berada di kawasan berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19 bagi mengawal wabak tersebut.

Katanya, tindakan perlu dilakukan segera bagi menghilangkan kerisauan masyarakat di samping mengelak persepsi negatif terhadap KPM.

“Saya rasa sekolah kena ketatkan penguatkuasaan disiplin. Sikap sambil lewa boleh memberi kesan kepada PdPR,” kata beliau.

Sejak Ahad, semua sekolah di tujuh daerah di Kelantan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diarah tutup sehingga 24 April ini berikutan sebanyak 464 kes aktif Covid-19 direkodkan membabitkan warga sekolah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Husin berkata, jumlah tersebut melibatkan guru, pelajar dan kakitangan sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah di tujuh daerah PKP di Kelantan ditutup


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!