Kes dera kanak-kanak: Kena ada sikap peduli

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KES penderaan dan penganiayaan membabitkan kanak-kanak memberi isyarat jelas ia sesuatu yang membimbangkan.

Perasaan bercampur baur apabila kes dera heboh di media sosial apabila pihak media melaporkan kes dera membabitkan golongan bawah usia 18 tahun itu.

Malah, ada antara kita akan marah, sedih dan terkejut apabila mengetahui kes dera membabitkan ahli keluarga sendiri.

Hakikatnya, perasaan itu hanyalah apabila kita sedang melayari media sosial dan membaca laporan kes dera, selain meninggalkan komen mengecam perlakuan kes dera terbabit.

Biasanya kita akan lupa keesokannya tentang penganiayaan dilakukan sedangkan anak kecil terbabit perlu melalui detik hitam sepanjang hidup.

Kesan perlakuan dera pada kanak-kanak bukan hanya meninggalkan kesan luka dan parut semata-mata, tetapi emosi dan mental kanak-kanak juga terganggu.

Justeru, masyarakat perlu ada sikap ambil peduli dalam menangani isu penderaan dan gangguan emosi kanak-kanak khususnya melibatkan ahli keluarga sendiri.

Pihak berkuasa sudah tentu diharap tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki terlibat dengan penderaan dan penganiayaan kanak-kanak yang boleh menjadi kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, terdapat tiga faktor utama membabitkan kes penderaan dalam kalangan kanak-kanak di negara ini iaitu masalah kewangan, dadah dan mental.

Katanya, tiga faktor utama itu antara penyumbang kes penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian kanak-kanak di negara ini.

“Masalah kewangan, ibu bapa terbabit penagihan dadah dan pendera mengalami masalah mental antara faktor utama penderaan kanak-kanak di Malaysia,” ujarnya.

Menurut Siti Zailah, sebanyak 3,875 kes penderaan fizikal kanak-kanak direkodkan di negara ini termasuk penderaan seksual, emosi dan pengabaian sehingga September tahun ini.

“Bagi penderaan seksual kanak-kanak sebanyak 1,373 kes direkodkan, emosi (131 kes) manakala pengabaian kanak-kanak pula mencatatkan 1,251 kes.

“Pada 2019 pula, sebanyak 6,061 kes penderaan fizikal manakala 2018 pula 5,578 kes direkodkan,” katanya.

Jelas sekali statistik itu amat membimbangkan dan sebagai anggota masyarakat seharusnya pengabaian terhadap kanak-kanak tidak berlaku.

Masyarakat seharusnya lebih peka terhadap isu sekeliling dan menjadi ‘mata dan telinga᾿ pihak berkuasa sekiranya terdapat kes penderaan terhadap kanak-kanak.

Istilah menjaga tepi kain dalam isu ini amat diperlukan dalam membendung kes penganiayaan terhadap kanak-kanak.

Misalnya, jika berada di rumah jika kerap kali terdengar tangisan kanak-kanak cubalah bertanya dengan jiran apa yang menyebabkan anak kecil mereka menangis.

Jangan malu bertanya dan pastikan persekitaran kita diami selamat daripada sebarang unsur jenayah terhadap kanak-kanak.

Janganlah kita ahli keluarga mahupun masyarakat setempat diam membisu apabila kita nampak ada tanda-tanda penderaan terutama ke atas kanak kanak kerana mereka adalah golongan yang lemah dan patut dibantu.

Justeru, masyarakat sekeliling diminta lebih prihatin dan berani untuk melaporkan kes penderaan.

Kita tidak mahu tragedi sedemikian berulang lagi pada masa hadapan dan hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap pesalah.

Menurut laman sesawang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kes penderaan atau kes pembuangan bayi boleh dilaporkan melalui talian 1-800-88-3040.

Selain itu, masyarakat juga boleh melaporkan kepada Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berhampiran.

Mereka juga boleh melaporkan kepada balai polis atau pondok polis berhampiran dan memaklumkan kepada mana-mana ahli pasukan pelindungan kanak-kanak.

Kesimpulannya, orang ramai perlu memainkan peranan dengan lebih agresif supaya kes dera melibatkan kanak-kanak dapat dibendung dengan menyeluruh.

* Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah wartawan Sinar Harian