Era baharu hubungan Turki-Mesir

Hubungan diplomatik antara Mesir dengan Turki kembali pulih pada bulan lalu selepas terputus sejak tahun 2013. - Foto AFP
Hubungan diplomatik antara Mesir dengan Turki kembali pulih pada bulan lalu selepas terputus sejak tahun 2013. - Foto AFP
A
A
A

HUBUNGAN antara Turki dan Mesir memasuki era baharu apabila menteri luar, timbalan menteri luar serta diplomat dari kedua-dua buah negara dilaporkan akan mengadakan pertemuan pada bulan depan untuk menamatkan perbalahan diplomatik antara Ankara dengan Kaherah.

Sebelum ini, pada tahun 2013, hubungan antara kedua-dua buah negara terputus selepas berlaku satu rampasan kuasa tentera Mesir yang diketuai Menteri Pertahanan ketika itu yang juga Ketua Tentera negara tersebut, Abdel Fattah al-Sisi.

Dalam rampasan kuasa tersebut, Presiden Mesir ketika itu, Mohamed Morsi yang dipilih melalui satu pilihan raya demokratik bagi menggantikan Hosni Mubarak yang telah meletakkan jawatannya akibat kebangkitan penduduk yang dikenali sebagai Arab Spring.

Morsi sebelum ini dicalonkan sebagai Presiden oleh Parti Keadilan dan Pembebasan serta mendapat sokongan daripada pergerakan Ikhwanul Muslimin sekali gus memenangi pilihan raya tersebut pada tahun 2012.

Beliau juga mendapat sokongan daripada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan tetapi Abdel Fattah Al-Sisi dilaporkan berkata, penyingkirannya disebabkan Morsi tidak memberikan perhatian terhadap permintaan pihak tentera supaya berusaha menyelesaikan krisis politik.

Menurut portal berita NBC, Morsi menolak permintaan pihak tentera untuk menyelesaikan krisis politik yang menyebabkan berjuta-juta penduduk berhimpun di jalan-jalan raya Mesir bagi menuntut peletakan jawatannnya.

Dalam pada itu, sebahagian aktivis politik di Turki menjangkakan satu hubungan lebih kukuh akan diwujudkan di Mesir ekoran kemenangan diperoleh oleh Morsi dalam pilihan raya itu.

Bagaimanapun, rampasan kuasa tentera tersebut telah menjejaskan hubungan antara kedua-dua buah negara.

Artikel Berkaitan:

Ekoran rampasan kuasa berkenaan, Istanbul dijadikan tempat bagi golongan penentang rampasan kuasa itu mengkritik dan menentang pemerintahan Presiden Mesir.

Ankara dilaporkan telah mewujudkan hubungan diplomatik dengan Kaherah buat kali pertama pada bulan lalu sebagai salah satu cara untuk memperbaiki hubungan dengan negara daripada Liga Arab itu.

Kedua-dua buah negara itu sebelum ini turut berbalah dalam beberapa isu penting termasuk perang di Libya dan isu-isu mengenai maritim.

Dalam perang Libya itu, Turki menyokong kerajaan Muafakat Kebangsaan yang juga diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) manakala Mesir dilaporkan menghantar bekalan senjata kepada Tentera Kebangsaan Libya yang menentang kerajaan muafakat itu.

Istanbul di Turki pernah menjadi tempat bagi golongan para penentang Mesir menubuhkan ibu pejabat media bagi menyuarakan kritikan terhadap pemerintahan negara mereka. - AFP
Istanbul di Turki pernah menjadi tempat bagi golongan para penentang Mesir menubuhkan ibu pejabat media bagi menyuarakan kritikan terhadap pemerintahan negara mereka. - AFP

Pemulihan hubungan itu juga berlaku ketika Abdel Fattah Al-Sisi yang mengetuai rampasan kuasa di Mesir menjadi Presiden melalui satu pilihan raya demokratik pada tahun 2018.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu juga dilaporkan berkata, pada bulan lalu bahawa negaranya akan berunding dengan Mesir bagi mencapai satu perjanjian mengenai sempadan maritim di Timur Mediterranean.

Sebelum bulan Ramadan menjelang, Covusoglu telah menghubungi Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry dan kedua-duanya saling bertukar-tukar ucapkan bagi menyambut bulan puasa, lapor portal berita Anadolu Agency.

Seorang penulis Mesir, Mohamed Abul Fadhl yang menulis dalam artikel Arab Weeky baru-baru ini berkata, Presiden Turki menyedari permusuhan berterusan dengan Mesir hanya akan menyebabkan negaranya menerima kesan-kesan antarabangsa.

Turki juga kemungkinan mendapati bahawa mencapai satu persefahaman dengan Kaherah adalah kunci untuk pemulihan hubungan yang baik dengan beberapa buah negara di rantau Teluk, kata Mohammed Abul.

Pemulihan hubungan diplomatik itu juga berlaku ketika Turki menghadapi krisis maritim di Mediterranean Timur dengan Greece yang masih belum lagi diselesaikan sejak berdekad-dekad lalu.

Ketegangan antara Turki dengan Greece sebelum ini memuncak pada tahun 2020 berhubung sempadan maritim dan hak meneroka gas di kawasan Timur Mediterranean yang mengakibatkan kedua-dua buah negara menghantar kapal-kapal perang bagi mempertahankan hak masing-masing.

Kedua-dua negara juga menghadapi pelbagai isu lain termasuk ruang udara, sumber-sumber tenaga, sempadan maritim di Laut Aegean, masalah imigrasi dan masa depan mengenai Pulau Cyprus yang turut diduduki oleh penduduk Cyprus berketurunan Turki dan penduduk Cyprus berketurunan Greece.

Dalam pada itu, pemimpin pergerakan Hamas, Ismail Haniyeh memberitahu portal berita Anadolu Agency baru-baru ini bahawa pemulihan hubungan antara Ankara dengan Kaherah dijangka memberikan kesan positif terhadap nasib Palestin dan negara-negara Arab lain. - Agensi