Budak 6 tahun maut, kereta rempuh rumah

Keadaan rumah dan kenderaan selepas kemalangan.
A
A

KUANTAN - Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut dalam kemalangan di Kampung Merchong Bebar, Pekan, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran sidek berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kenderaan dipandu Mohd Izwan Zainudin, 31, terbabas lalu terlanggar sebuah rumah di alamat Kampung Merchong, Bebar.

Lokasi kejadian berada kira-kira 50 kilometer dari KM58 Jalan Pekan/Nenasi/Rompin dekat sini.

“Kemalangan mengakibatkan, penghuni rumah tersebut Nooreen Qistina Abdullah, 6, meninggal dunia manakala bayi berusia setahun, Nur Jannah Muhamad Hafizi, luka bahagian kepala.

“Seorang lagi penghuni rumah tersebut, Nooreen, Norehan Abdul Rahman, 26, tidak mengalami kecederaan.

Mohd Izwan kini menerima rawatan di Hospital Peka. Laporan bedah siasat jenazah mangsa masih belum diterima setakat ini,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Amran berkata, kemalangan berlaku apabila Mohd Izwan seorang diri dalam perjalanan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan menghala ke Johor Bahru.

“Apabila sampai di tempat kejadian Mohd Izwan cuba mengelak sebuah kenderaan dari arah hadapan ke kanan, lalu terbabas terlanggar rumah dihuni kesemua mangsa.

“Akibat kemalangan penghuni- penghuni yang berada di dalam rumah telah dihempap batu bata yang runtuh sebelum menerima rawatan di Klinik Nenasi. Jam lebih kurang 12.10 pagi, Nooreen Qistina disahkan meninggal dunia di Klinik Nenasi.

“Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkitan Jalan (APJ) 1987,” katanya.