Suntikan semangat Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya kini dapat 'perlindungan' tambahan selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.
- Foto FB FAM
Skuad Harimau Malaya kini dapat 'perlindungan' tambahan selepas menerima suntikan vaksin Covid-19. - Foto FB FAM
A
A
A

SUNTIKAN vaksin Covid-19 yang diterima barisan pemain dan pegawai skuad Harimau Malaya menjadi moral tambahan buat mereka menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Harimau Malaya bagaikan mendapat ‘perlindungan tambahan’ dengan vaksin tersebut dan tidak lagi perlu risau untuk menghadapi aksi kelayakan tersebut.

“Saya fikir vaksin ini melangkaui daripada bola sepak, maksudnya semua orang perlu untuk ambil vaksin ini. Sudah tentu pegawai dan pemain pasukan mendapatkan perlindungan tambahan selain keyakinan kami bertambah untuk harungi perlawanan nanti.

“Bagi saya, ia sesuatu yang baik untuk pasukan negara seperti mana atlet Olimpik lain yang sudah menerima vaksin sebelum ini dan ia satu lonjakan moral sebelum ke UAE,” katanya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Dewan Seri Seroja Persiaran Diplomatik Putrajaya pada Isnin.

Seramai 78 pemain dan pegawai Harimau Malaya disenaraikan untuk menerima dos pertama vaksin Covid-19 yang menyaksikan Hamidin menjadi individu pertama daripada FAM menerima suntikan itu diikuti pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dan kapten, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Mengulas lanjut, Hamidin memberitahu, seramai 40 pemain dan pegawai Harimau Malaya menerima suntikan dos pertama vaksin itu pada Isnin dengan bakinya akan disuntik pada Khamis ini.

“Mereka yang tidak hadir (hari ini) atas sebab tertentu dan akan mengambil vaksin pada Khamis ini. Bagi kami yang sudah mengambil dos pertama akan mengambil dos kedua pada awal Mei ini.

“Pemain-pemain yang berada di luar negara seperti Luqman Hakim Shamsudin, Junior Edstal dan Liridon Krasniqi tidak menerima vaksin di sini dan akan terus ke UAE sekiranya terpilih.

Artikel Berkaitan:

“Program suntikan hari ini juga berjalan lancar dan saya tengok SOP (prosedur operasi standard) program agak ketat. Malah, tak sakit pun bila dicucuk tadi. Saya tanya pemain dan pegawai, mereka pun memberikan reaksi sama,” ujarnya.

Hamidin turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang membenarkan Harimau Malaya mendapat vaksin lebih awal.