Jangan jadi seperti Imelda Marcos, kata SPRM

Shamshun Baharin Mohd Jamil
Shamshun Baharin Mohd Jamil
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat di negara ini diingatkan supaya tidak mengagungkan individu yang mempunyai kesalahan rasuah seperti yang pernah berlaku di Filipina, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Beliau mengambil contoh bekas wanita pertama, Imelda Marcos selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah ketika pemerintahan dua dekad suaminya yang juga bekas diktator, Ferdinand Marcos tetapi telah dipilih oleh rakyat sebagai anggota kongres di negara tersebut.

“Kita tak mahu walaupun seseorang itu didapati bersalah dan telah dihukum tetapi seolah-olah dia itu tidak melakukan kesalahan. Itu yang kita pelik masyarakat sekarang.

“Ini kita tidak mahu jadi sebagaimana yang berlaku di Filipina. Walaupun kita dengar Imelda Marcos, dia punya beg atau kasut serta pakaian beribu, tetapi akhirnya apa jadi? Rakyat Filipina angkat dia sebagai seorang senator.

“Jadi di mana nilainya kalau masyarakat kita walaupun kita benci rasuah tetapi akhirnya kita mengagungkan orang yang telah didapati bersalah dalam kes rasuah.

"Ini yang kita perlu menyokong penuh apa yang dilakukan menerusi Rasuah Busters,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran #RasuahBusters bersama Allianz Malaysia dan majlis berbuka puasa di sini pada Isnin

Imelda terkenal kerana memiliki sejumlah besar koleksi kasut, barang kemas dan lukisan berdepan puluhan kes dihadapinya sejak keluarganya digulingkan dalam satu kebangkitan popular disokong tentera pada tahun 1986.

Mahkamah rasuah di negara itu telah mengarahkan Imelda, juga anggota kongres menjalani hukuman penjara antara enam dan 11 tahun bagi setiap tujuh kesalahan rasuah.

Artikel Berkaitan:

Dia didakwa kerana mengarahkan pemindahan tujuh bank berjumlah AS$200 juta (RM835.81 juta) kepada yayasan Switzerland ketika penggalnya sebagai gabenor ibu kota tersebut.

Imelda yang berkhidmat tiga penggal sebagai anggota kongres mendaftar untuk bertanding dalam pilihan raya menggantikan anak perempuannya, Imee Marcos iaitu seorang gabenor di Ilocos Norte, kubu kuat keluarga Marcos yang masih berkuasa.