X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 145,000 pendatang asing tanpa izin daftar program rekalibrasi

Hamzah Zainuddin
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 145,830 pendatang tanpa izin telah mendaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang sejak ia dilaksanakan pada November tahun lepas, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 72,324 orang telah mendaftar untuk pulang manakala 73,506 lagi mendaftar untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Melalui Program Rekalibrasi Pulang, kerajaan telah mengutip RM35.1 juta daripada kompaun dan bayaran pas khas yang dikeluarkan kepada pendatang tanpa izin yang ingin pulang.

"Ramai mempunyai persepsi bahawa begitu ramai (pendatang) yang tidak berdokumen dalam negara kita tapi apabila kita lakukan program ini, baru kita sedar bahawa ia persepsi semata-mata.

"Ini menunjukkan bahawa selama ini Jabatan Imigresen (JIM) telah melakukan kerja melalui pengusiran, operasi dan segala kerja yang telah dilakukan oleh pegawai dan anggota mencapai satu kejayaan yang boleh kita katakan amat membanggakan," katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JIM 2020 pada Isnin.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Pada November tahun lepas, kerajaan melancarkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin yang dilaksanakan JIM dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta agensi kerajaan lain tanpa pembabitan vendor atau pihak ketiga.

Program itu adalah bagi meregularisasikan pendatang tanpa izin di negara ini sebagai pekerja asing sah digajikan majikan layak, tertakluk kepada syarat ketat yang diputuskan kerajaan.

Program Rekalibrasi Pulang pula merupakan inisiatif kerajaan untuk memberi peluang kepada pendatang yang melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah untuk pulang ke negara asal secara sukarela.

Hamzah berkata tujuan kerajaan melaksanakan Program Rekalibrasi itu adalah untuk memastikan hanya warga asing yang mempunyai dokumen sah boleh bekerja dalam negara.

Katanya, bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, kerajaan bakal mengutip fi Rekalibrasi Tenaga Kerja sebanyak RM1,500 bagi setiap warga asing yang layak bekerja semula.

Beliau juga berkata komitmen JIM untuk memastikan hanya warga asing yang mempunyai dokumen sah boleh berada dalam negara akan membantu pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

"Kalau mereka tiada dokumen dan tidak divaksin, (Malaysia) tak mungkin capai imuniti kelompok.

"Saya minta kepada JIM untuk memastikan semua warga asing dalam negara ini boleh kita pastikan untuk keluar bekerjasama dengan kita untuk mereka menerima vaksin mengikut program yang dianjurkan oleh kerajaan," katanya.

Sementara itu, Khairul Dzaimee dalam ucapannya memaklumkan pegawai Imigresen telah mencipta beberapa inovasi ICT yang menyumbang kepada pengurusan hal ehwal Imigresen yang lebih cekap ketika pandemik COVID-19 antaranya My Travel Pass, Sistem Temu Janji Online (STO) dan Sistem Pertanyaan Online (SPO).

"My Travel Pass dihasilkan sendiri oleh Bahagian ICT Jabatan yang kini menjadi Single Window yang menguruskan urusan keluar masuk warganegara Malaysia dan warga asing seperti pelabur, ahli perniagaan dan golongan profesional ke Malaysia.

"Di bawah STO, pelanggan jabatan boleh mendapatkan tarikh janji temu secara online sebelum datang berurusan di JIM manakala di bawah SPO pula, pelanggan boleh membuat pertanyaan mengenai peraturan dan dasar semasa Imigresen melalui portal dan jawapan diberikan dalam masa tiga hari bekerja," katanya.

Pada majlis itu, seramai 250 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat JIM Putrajaya, JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, JIM Selangor dan Akademi Imigresen Malaysia menerima APC. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!