Dua calon mohon bertanding Pilihan Raya Presiden Syria

Rejim Bashar berjaya mengekalkan kekuasaannya sepanjang konflik selama sedekad tercetus di Syria. - Foto: Agensi
Rejim Bashar berjaya mengekalkan kekuasaannya sepanjang konflik selama sedekad tercetus di Syria. - Foto: Agensi
A
A
A

DAMSYIK - Sebuah mahkamah di Syria pada Isnin mula menerima permohonan dua calon yang berhasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Presiden pada 26 Mei depan.

Agensi berita SANA melaporkan, calon pertama adalah bekas ahli Parlimen, manakala seorang lagi pernah mengemukakan pencalonan pada pemilihan 2014 namun tidak memenuhi kriteria ditetapkan.

Kedua-duanya perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 35 daripada 250 ahli Parlimen yang dikuasai oleh parti pemerintah, Parti Baath yang dipimpin Presiden Bashar al-Assad.

Assad, 55, yang menggantikan pentadbiran bapanya pada tahun 2000 dan masih kekal memegang tampuk pemerintahan sehingga kini bagaimanapun masih belum mengumumkan pencalonannya.

Difahamkan, para calon presiden diberi tempoh sehingga 28 April ini untuk mengemukakan pencalonan mereka.

Antara syarat wajib yang ditetapkan adalah mereka perlu menetap di Syria sekurang-kurangnya selama 10 tahun yang menyaksikan calon pembangkang yang hidup dalam buangan dilarang untuk bertanding.

Ketika Pilihan Raya Presiden diadakan kali terakhir pada tahun 2014, hanya dua calon diluluskan untuk bertanding, namun Assad diumumkan sebagai pemenang pemilihan itu selepas meraih 88 peratus undi. - AFP

Artikel Berkaitan: