Malaysia cadang perakuan sijil vaksin dengan Australia

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein - Foto Bernama
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mencadangkan kepada Australia supaya bekerjasama mewujudkan Perakuan Bersama Sijil Pengesahan Vaksinasi untuk membolehkan perjalanan dan memulihkan proses rentas sempadan selepas kedua-dua negara terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu penting memandangkan lebih 19,000 penuntut Malaysia sedang menunggu untuk kembali ke Australia bagi menyambung pengajian mereka.

Hishammuddin mengemukakan cadangan itu kepada Menteri Luar dan Menteri Wanita Australia Marise Payne dalam mesyuarat secara maya pada Isnin.

"Berikutan pandemik Covid-19 ketika ini, kami juga mengadakan perbincangan konstruktif mengenai pelan vaksinasi negara masing-masing yang sedang rancak dilaksanakan," katanya.

Hishammuddin berkata, mereka turut membincangkan isu serantau dan antarabangsa termasuk perkembangan di Myanmar selain beliau memaklumkan Payne mengenai Mesyuarat Pemimpin ASEAN di Jakarta, Indonesia hujung minggu ini diharap membincangkan berkaitan negara yang bergolak itu.

"Bimbang mengenai penggunaan senjata oleh tentera yang mengakibatkan peningkatan jumlah kematian selain penangkapan orang awam, saya menyuarakan gesaan Malaysia kepada semua pihak supaya mengelak menggunakan keganasan serta menuntut mereka bertenang dan bertolak ansur,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak yang berkenaan harus mencari penyelesaian aman, mengadakan dialog, berdamai dan segera mengembalikan keadaan normal sejajar dengan aspirasi dan kepentingan rakyat Myanmar demi keamanan, keselamatan dan kestabilan menyeluruh rantau ini

"Malaysia akan terus menjalin hubungan konstruktif dengan semua pihak dengan harapan dapat menyumbang ke arah penyelesaian aman," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari, beberapa jam sebelum Parlimen di jadual bersidang dan menahan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan pemimpin kanan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD). Sejak itu lebih 700 orang kehilangan nyawa dalam tunjuk perasaan antikudeta.

Sementara itu, dalam pertemuan tiga hala dengan rakan sejawat mereka dari Brunei, Datuk Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof, katanya, ketiga-tiga pemimpin mengakui berlakunya peningkatan masalah kesihatan mental di rantau ini, diburukkan lagi oleh pandemik Covid-19, dan kesannya terhadap masyarakat dalam jangka panjang sekiranya tidak ditangani.

"Bagi menggalakkan kerjasama serantau mengenai kesihatan mental, Malaysia bersetuju menjadi penaja bersama Kenyataan Pemimpin mengenai Kerjasama Kesihatan Mental bersama Brunei pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-16 akhir tahun ini," katanya.