Kejadian ribut petir bukan kesan perubahan iklim sahaja

Banyak faktor yang boleh menyebabkan kejadian ribut petir. (Gambar hiasan)
Banyak faktor yang boleh menyebabkan kejadian ribut petir. (Gambar hiasan)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjelaskan bahawa adalah kurang tepat untuk mengatakan ribut petir yang melanda pantai barat Semenanjung baru-baru ini berpunca daripada perubahan iklim semata-semata.

Merujuk kepada laporan yang disiarkan sebuah akhbar tempatan pada Isnin berkaitan ribut petir itu, MetMalaysia dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan banyak faktor lain yang boleh menyebabkan ribut petir termasuk perubahan topografi, kesan pulau haba dan keragaman iklim.

“Berdasarkan rekod, hampir 80 peratus kejadian angin ribut terkuat berlaku sebelum tahun 2000 dan ini menunjukkan bahawa kejadian ribut petir yang kuat bukan perkara baharu. Oleh itu adalah kurang tepat untuk mengatakan kejadian ribut petir berlaku baru-baru ini disebabkan perubahan iklim sahaja,” menurutnya dalam kenyataan itu.

MetMalaysia bagaimanapun tidak menafikan kesan perubahan iklim telah berlaku di Malaysia kerana berdasarkan analisis, secara purata suhu di Semenanjung Malaysia telah meningkat kira-kira 2.4 darjah Celcius dalam tempoh 100 tahun.

“Di Sabah pula meningkat sebanyak 1.8 darjah Celsius dan Sarawak 1.3 darjah Celsius bagi tempoh yang sama. Selain itu, 17 daripada 20 suhu purata tertinggi bagi negara ini telah direkodkan selepas tahun 2000,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut kajian turut mendapati suhu tinggi di negara ini berkait rapat dengan fenomena El-Nino yang kuat seperti pada tahun 1982/83, 1997/98, 2004/05 dan 2015/16.

“Malah rekod tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan pada 1998,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: