Thailand rancang tambah 10 juta lagi dos vaksin Covid-19

Thailand rancang dapatkan tambahan 10 juta dos vaksin Covid-19 untuk kegunaan hospital kerajaan dan swasta ketika negara sedang dilanda gelombang jangkitan baharu. - Foto 123RF
Thailand rancang dapatkan tambahan 10 juta dos vaksin Covid-19 untuk kegunaan hospital kerajaan dan swasta ketika negara sedang dilanda gelombang jangkitan baharu. - Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha berkata, Thailand merancang mendapatkan tambahan 10 juta dos vaksin Covid-19 untuk kegunaan hospital kerajaan dan swasta ketika negara sedang dilanda gelombang jangkitan baharu.

Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri berkata, Prayuth selaku Menteri Pertahanan turut melantik kumpulan kerja yang bertanggungjawab untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

"Thailand akan mendapatkan sekurang-kurangnya 63 juta dos vaksin yang sebelum ini sudah ditempah kerajaan.

"Dijangkakan sekurang-kurangnya 35 juta orang akan menerima suntikan menjelang akhir 2021," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, Prayuth yakin ekonomi Thailand akan terus berkembang tahun ini berikutan usaha vaksinasi Covid-19.

Setakat ini 600,000 dos vaksin Sinovac dan AstraZeneca telah diberikan, sebahagian besar kepada pegawai perubatan dan kumpulan berisiko tinggi sejak kempen vaksinasi bermula 28 Februari lalu.

Thailand merancang untuk memulakan program vaksinasi besar-besarannya pada Jun menggunakan vaksin AstraZeneca yang dihasilkan syarikat tempatan, Siam Bioscience Co Ltd, bermula dengan enam juta dos diikuti 10 juta lagi dos pada Julai.

Negara itu juga sudah memesan 61 juta dos vaksin Covid-19 AstraZeneca dan dua juta lagi dos dari Sinovac Biotech.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Anucha berkata, Prayuth yakin bahawa tindakan terbaru yang dilaksana kerajaan akan dapat mengekang peningkatan kadar jangkitan.

Thailand telah menutup institusi pendidikan dan pusat hiburan serta melarang penjualan alkohol di restoran sekurang-kurangnya dua minggu, mulai Ahad (18 April).

Selain itu, aktiviti melibatkan lebih 50 orang adalah dilarang.

Anucha berkata, kerajaan akan melaksanakan langkah rangsangan ekonomi tambahan, dengan mempertimbangkan keadaan semasa dan memenfaatkan sebaik-baiknya belanjawan. - Bernama