Pemuda UMNO bangkit isu perlindungan pekerja Grab

Tangkap layar hantaran di Facebook Asyraf Wajdi pada Isnin.
Tangkap layar hantaran di Facebook Asyraf Wajdi pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO membangkitkan persoalan mengenai tahap perlindungan yang diterima pekerja penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab selepas syarikat itu dijangka mendapat keuntungan besar daripada penyenaraiannya di bursa saham Nasdaq.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebagai sebahagian daripada pekerja yang memberi sumbangan besar kepada operasi syarikat itu, pemandu atau penunggang e-hailing sepatutnya turut mendapat manfaat hasil daripada perkembangan tersebut.

“Bukan kecil nilai langkah korporat ini. Sumber menyatakan bahawa ‘deal’ ini bernilai USD 39.6 bilion atau RM 163.5 bilion. Ini sudah lebih separuh dari jumlah Belanjawan 2021 Kerajaan Malaysia.

“Dari ‘deal’ ini juga, Grab dikatakan akan menerima tunai lebih USD 4.0 bilion atau RM16.51 bilion untuk digunakan sebagai modal membesarkan operasi perniagaan mereka yang kini telah bertapak di lapan negara.

“Tetapi apa manfaatnya kepada ‘darah dan nadi’ kepada kejayaan Grab sendiri iaitu ribuan pemandu dan 'riders' di bawah?,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

Pada 14 April lalu, Grab Holdings Inc yang merupakan syarikat berpangkalan Singapura dilaporkan akan disenaraikan di bursa saham di Amerika Syarikat menerusi penggabungan terbesar dengan syarikat pengambil alihan tujuan khas (SPAC).

Melalui proses tersebut, Grab dijangka mempunyai nilai pasaran kira-kira AS$39.6 billion (RM163.47 bilion) selepas digabungkan dengan Altimeter Growth Corp, SPAC daripada Altimeter Capital Management.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, syarikat tersebut tidak sepatutnya melupakan risiko keselamatan dan kesukaran dihadapi pekerja dalam menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, pekerja syarikat itu juga turut menyumbang kepada pendapatan terkumpul Grab tahun lepas berjumlah AS$2.5 bilion atau RM 51.6 bilion sehingga boleh menarik minat ramai pemodal-pemodal global untuk merealisasikan penyenaraian tersebut.

Katanya, adalah menjadi kewajaran untuk Pemuda UMNO membangkitkan persoalan mengenai perlindungan kumpulan pekerja e-hailing itu memandangkan bilangannya yang semakin meningkat akibat pandemik Covid-19 kepada ekonomi negara.

“Hanya kerana wujud ‘loopholes’ di dalam undang-undang buruh negara yang membezakan antara rakan kongsi (partner) dan pekerja (employee), maka Grab dibolehkan untuk tidak memberikan perlindungan yang sama kepada ‘riders’ mereka.

“Adilkah kita? Prihatinkah kita?” soal beliau lagi.