Pembebasan 47 tahanan sudah dapat perintah mahkamah

Seramai 40 anak Sarawak yang ditahan di penjara Kemboja kerana disyaki terlibat aktiviti perjudian dalam talian secara haram, selamat tiba di Terminal VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, pada jam 2.20 petang hari ini, bersama-sama tiga lagi bekas tahanan dari Sabah. - Foto Bernama
A
A

KUCHING - Pembebasan kesemua 47 rakyat Malaysia, termasuk 40 anak Sarawak, yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian dalam talian secara haram di Kemboja, telah mendapat perintah mahkamah negara itu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, perkara utama yang diterapkan semasa membuat rundingan bersama kerajaan Kemboja adalah untuk menghormati undang-undang negara terbabit.

“Terima kasih kepada kerajaan Kemboja di bawah pimpinan Perdana Menteri Hun Sen yang memudahkan proses pembebasan ini mengikut undang-undang negara itu,” katanya pada sidang media sempena ketibaan 43 bekas tahanan tersebut iaitu 40 rakyat Sarawak dan tiga dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, hari ini.

Beliau berkata kunci utama kejayaan pembebasan 47 rakyat Malaysia itu adalah kerana keprihatinan kerajaan Sarawak dan kerajaan pusat yang berkerjasama membuat rundingan sehingga keputusan positif berjaya dicapai.

Hadir sama Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar, Deddy Faisal Ahmad Salleh.

Fatimah, Wan Junaidi dan Deddy merupakan anggota delegasi yang dihantar oleh kerajaan Sarawak untuk misi membawa pulang kesemua 47 warga Malaysia itu yang ditahan di Penjara Banteay Mancheay, kira-kira 44km dari Phnom Penh, pada 16 Disember lalu selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket pemerdagangan manusia yang menawarkan gaji lumayan.

Mereka akhirnya di dibebaskan Jumaat lalu dan dibawa pulang hari ini.

Kesemua 40 anak Sarawak dan tiga dari Sabah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, Kemboja, pada jaml 10.35 pagi tadi dengan menaiki penerbangan khas JC International Airlines bersama-sama Fatimah.

Sementara itu, empat lagi iaitu tiga berasal dari Selangor dan seorang dari Kuala Lumpur dibawa pulang menaiki pesawat AirAsia dari Lapangan Terbang Seam Reap pada jam 8.30 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 11.35 pagi tadi. - Bernama