Risiko kebolehjangkitan hanya 0.003 peratus selepas dua dos vaksin

Seramai 272,019 petugas barisan hadapan telah menerima dua dos suntikan vaksin yang dilaksanakan menerusi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. - Foto Bernama
Seramai 272,019 petugas barisan hadapan telah menerima dua dos suntikan vaksin yang dilaksanakan menerusi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Risiko kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas barisan hadapan yang telah menerima dua dos suntikan vaksin berada pada tahap paling rendah iaitu 0.003 peratus, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, ia menunjukkan tahap keberkesanan vaksin Covid-19, yang bertujuan menangani risiko jangkitan, maut atau dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), adalah baik.

“Kalau ada sembilan kes iaitu mereka yang telah terima dua dos suntikan vaksin disahkan positif Covid-19, tiada satu pun dari sembilan orang itu mengalami sebarang gejala teruk atau ringan.

"Mereka cuma disahkan positif Covid-19. Saya rasa kita boleh katakan vaksin ini berkesan dengan risiko jangkitan yang rendah,” katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan seramai sembilan petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas dua minggu menerima dua dos suntikan vaksin, manakala 31 kes lagi yang juga melibatkan petugas kesihatan dikesan kurang dua minggu selepas mendapat dos kedua vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipetik sebagai berkata, kesemua mereka tidak mengalami gejala yang teruk.

Sehingga kini, Khairy berkata, seramai 272,019 petugas barisan hadapan telah menerima dua dos suntikan vaksin yang dilaksanakan menerusi fasa pertama program imunisasi itu.

Menurut Dr Adham, kesemua sembilan petugas kesihatan yang telah menerima suntikan vaksin dos kedua, dikesan positif Covid-19 tanpa mengetahui bahawa mereka positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Apabila kita uji, mereka positif Covid-19,” katanya.

Mengenai dapatan tinjauan penerimaan vaksin Covid-19 2.0 yang dijalankan dari 3 hingga 16 April lepas, Dr Adham berkata, sebanyak 85 peratus daripada 15,639 responden bersedia menerima vaksin Covid-19.

“Hanya 10 peratus daripada responden berkata mereka tidak pasti sama ada mahu menerima vaksin atau tidak manakala lima peratus lagi tidak bersetuju,” kata Dr Adham.

Tinjauan yang diakukan secara dalam talian oleh Kementerian Kesihatan itu antara lain bertujuan mengenal pasti pandangan rakyat mengenai penerimaan dan penolakan vaksin Covid-19 serta faktor yang mempengaruhinya. - Bernama