Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir dagangan Isnin.
Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir dagangan Isnin.
A
A
A

RINGGIT mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir dagangan Isnin berikutan kelemahan ketara unit negara maju itu susulan penurunan hasil pulangan Perbendaharaan AS, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.1220/1250 berbanding dolar AS daripada 4.1250/1290 pada Jumaat lepas.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata, rancangan Rizab Persekutuan AS untuk memanfaatkan pembelian bon, ternyata turut memberi kesan terhadap dolar AS.

Jumaat lepas, hasil Perbendaharaan 10 tahun AS merosot sehingga mencecah kurang 1.6 peratus iaitu pertama kali seumpamanya sejak 11 Mac lepas walaupun data inflasi dan jualan runcit AS ternyata lebih kukuh daripada jangkaan awal.

Sementara itu, Kenanga Research yang juga cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank berkata, ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran lebih kecil pada minggu ini.

Menurutnya, ini berikutan kekurangan pemangkin bagi menggerakkan pasaran dan berkemungkinan besar menyebabkan hasil Perbendaharaan 10 Tahun AS itu berada dalam julat 1.5 peratus hingga 1.6 peratus yang turut mengehadkan aliran peningkatan harga minyak mentah Brent.

“Kenaikan jumlah kes harian Covid-19 di peringkat domestik boleh memberi tekanan terhadap ringgit apabila pelabur lebih berhati-hati terhadap kemungkinan berlakunya gelombang keempat jangkitan virus tersebut di negara ini,” katanya dalam nota penyelidikan pada Isnin.

Setakat petang ini, harga minyak mentah Brent susut 0.22 peratus kepada AS$66.62 setong ketika Malaysia merekodkan sejumlah 2,078 kes positif terbaharu pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lainnya.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0972/1001 daripada 3.0929/0964 pada Jumaat lepas dan rendah berbanding euro kepada 4.9612/9661 daripada 4.9405/9465 sebelum ini.

Ringgit juga merosot berbanding pound Britain kepada 5.7292/7350 daripada 5.6834/6898 dan rendah berbanding yen kepada 3.8145/8180 daripada 3.7906/7937. - Bernama