Pasangan kekasih aktif edar dadah di Lembah Klang diberkas

Pelbagai jenis dadah dirampas di sebuah kondominium di Puchong Jaya, Selangor pada Jumaat.
Pelbagai jenis dadah dirampas di sebuah kondominium di Puchong Jaya, Selangor pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasang kekasih disyaki pengedar dadah ditahan di tepi Jalan Sri Sentosa di sini pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, lelaki warga tempatan dan wanita warga Vietnam berusia 26 tahun dan 31 tahun itu ditahan pada jam 12.30 tengah hari.

"Hasil soal siasat, kita menyerbu sebuah kondominium yang disewa oleh suspek di Puchong Jaya, Selangor.

"Kita merampas serbuk MDMA seberat 4,054 gram, methamphetamine (6.16 gram) dan ketamin (11.19 gram) serta wang tunai RM540. Nilai rampasan dadah dianggarkan RM244,975," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Adnan berkata, ujian saringan awal urin ke atas kedua suspek mendapati mereka positif dadah ketamin.

"Suspek dipercayai aktif mengedar dadah sejak tiga bulan lalu di sekitar Lembah Klang.

"Keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 4,072 orang pengguna dadah," katanya.

Adnan berkata, suspek direman tiga hari bermula Sabtu hingga Isnin bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.