'Keputusan tutup Bazar Ramadan Balok hari ini bukan tergesa-gesa'

Hamdan
Hamdan
A
A
A

KUANTAN - Bazar Ramadan Balok diarahkan tutup selama sehari pada Isnin kerana didapati gagal mematuhi prosedur standard (SOP) yang ditetapkan.

Arahan penutupan itu dikeluarkan pasukan pemantauan SOP, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dengan agensi berkaitan pada petang Ahad.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati pihak penganjur dan peniaga tidak mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

"Kita tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan, sebaliknya penutupan sementara ini telah dibuat oleh pasukan Task Force yang mendapati mereka (peniaga) tidak mengamalkan SOP digariskan.

"Bagaimanapun, bazar ini akan dibuka semula jika pihak penganjur memperkemaskan SOP dan memastikan semua pihak mematuhi garis panduan ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melakukan tinjauan Program Imunisasi Covid-19 Fasa 2 Peringkat Pahang di Wisma Belia di sini petang Isnin.

Hamdan berkata, pasukan pemantauan SOP sudah melakukan tinjauan di bazar tersebut sejak Sabtu lalu, sebelum arahan itu dikeluarkan.

Katanya, penganjur telah melakukan kesalahan seperti tidak merekodkan atau mengambil suhu pelanggan selain didapati tidak menyediakan laluan untuk pendaftaran masuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan tidak menyediakan laluan sehala bagi mengawal pergerakan keluar masuk pelanggan ketika berurusan di situ.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 59 bazar dijalankan di seluruh negeri ini dengan 26 lokasi daripadanya adalah dalam daerah Kuantan.