Ops Pantau: 16 premis dikenakan kompaun serta-merta

Penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan barang di premis perniagaan menerusi Ops Pantau di seluruh Sabah.
Penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan barang di premis perniagaan menerusi Ops Pantau di seluruh Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 16 premis dikenakan kompaun serta-merta oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah dalam Ops Pantau.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, operasi itu dilaksanakan bermula 14 April hingga Ahad lalu dan berjaya memeriksa sebanyak 1,167 premis perniagaan di seluruh Sabah.

"Sebanyak 20 tindakan kes dengan nilai rampasan berjumlah RM6,665 telah dihasilkan.

"Daripada 20 kes itu sebanyak 16 kes telah dikompaun serta-merta dengan jumlah hasil kutipan sebanyak RM1,700 manakala empat kes lagi masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pelbagai kesalahan berjaya dikesan dilakukan pemilik premis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

"Antara kesalahan dikesan termasuk 14 kes berkaitan kegagalan peniaga mempamerkan penandaan harga terhadap barangan yang dijual dan tiga kes di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 iaitu peniaga tidak menyelenggarakan Buku Penyata Stok barangan kawalan yang dijual.

"Selain itu, dua kes di bawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 iaitu menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan dan satu lagi kes di bawah Akta Pelindungan Pengguna (APP) 1999 iaitu harga yang mengelirukan," katanya.

Tambah Georgie,, sepanjang operasi dikuatkuasakan, KPDNHEP Sabah juga mengeluarkan sebanyak 29 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 terhadap barangan.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk 15 NPMB melibatkan air kosong, sembilan NPMB melibatkan bahan binaan dan lima NPMB yang berkaitan dengan harga ayam.

"NPMB ini telah dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat harga dan kos barangan yang terlibat," katanya.

Tambah beliau lagi, KPDNHEP Sabah turut menerima pelbagai aduan termasuk 20 aduan berkaitan transaksi dalam talian membabitkan, lapan aduan berkenaan harga, empat aduan berhubung dengan perkhidmatan yang mengelirukan dan satu aduan berkaitan barang kawalan.

Beliau memaklumkan, Ops Pantau itu telah dilancarkan oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 14 April 2021.

Sehubungan itu, Georgie berkata, KPDNHEP Sabah akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan serta pemeriksaan sepanjang Ramadan dan menjelang perayaan hari raya nanti bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa mencukupi serta membantu peniaga menjalankan perdagangan yang kompetitif dengan mematuhi perundangan di bawah bidang kuasa KPDNHEP.