Guna kayu api, sabut kelapa, baulu Mak Cik Kiah jadi pilihan

Antara kuih bahulu berbentuk cermai dan ikan yang telah siap dimasak oleh Rokiah Kulop Malodin, 60, atau Mak Cik Kiah yang membakar kuih bahulu secara tradisional dengan kayu api dan sabut kelapa di Kampung Guar, Manong, Kuala Kangsar. - Foto Bernama
Antara kuih bahulu berbentuk cermai dan ikan yang telah siap dimasak oleh Rokiah Kulop Malodin, 60, atau Mak Cik Kiah yang membakar kuih bahulu secara tradisional dengan kayu api dan sabut kelapa di Kampung Guar, Manong, Kuala Kangsar. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kuih baulu adalah antara kuih tradisional yang sentiasa menjadi pilihan masyarakat, baik semasa perayaan, majlis keraian mahupun sebagai ‘peneman’ kopi atau teh ketika minum petang.

Resipinya ringkas hanya tiga bahan, iaitu telur, gula dan tepung, namun cara membuatnya agak renyah dan menuntut kesabaran kerana adunan perlu dipukul dalam tempoh yang lama sebelum dibakar, sama ada menggunakan ketuhar elektrik atau kaedah tradisional, iaitu kayu api, sabut kelapa dan pasir.

Bagi pembuat baulu Rokiah Kulop Malodin, 60, dari Kampung Guar, Manong di sini, dia percaya kaedah tradisional itu antara penyumbang kepada keenakan kuih tersebut selain lebih tahan lama.

Mewarisi ilmu membuat baulu daripada arwah ibu dan ibu mentuanya, Rokiah yang lebih mesra dipanggil Mak cik Kiah berkata, dia membuat baulu sejak 30 tahun lalu dan masih setia menggunakan kayu api, sabut dan pasir untuk membakar kuih berkenaan.

“Untuk memastikan kuih itu lembut dan gebu, saya pukul adunan selama dua jam, selain tepung gandum disangai terlebih dahulu. Semasa proses memukul telur dan gula, langsung tidak boleh termasuk air walau setitik, kalau tidak adunan tidak menjadi,” katanya ketika ditemui Bernama.

Menurutnya, proses membakar hanya mengambil masa lima minit dan dia mampu menyiapkan 500 biji baulu sehari menggunakan 60 biji telur, empat kilogram (kg) gula dan 6kg tepung gandum.

Rokiah berkata, dia juga hanya menggunakan kayu api daripada pokok langsat, rambutan atau kayu hutan seperti cenerai dan halban bagi menghasilkan bau asap pada kuih.

“Penat memang penat, tapi puas hati apabila pelanggan beritahu sedap kerana ada bau asap,” katanya yang bangun seawal 4 pagi untuk membuat kuih berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Rokiah, dia mengehadkan tempahan kepada 5,000 biji bagi sambutan perayaan termasuk Aidilfitri.

“Tempahan diterima dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, malah pernah menerima tempahan dari luar negara,” katanya, menambah sebiji baulu yang dibuat dalam bentuk buah cermai, ikan dan bunga kemboja dijual pada harga serendah RM3.50 sebiji mengikut saiz. - Bernama