Mukim Endau, Triang di Mersing dikenakan PKP

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mukim Endau dan Mukim Triang, Mersing, Johor berkuat kuasa 20 April sehingga 3 Mei depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKP di kedua-dua lokaliti itu dilaksanakan kerana masih terdapat kes baharu dikesan walaupun telah melebihi dua tempoh inkubasi (28 hari) serta mengelak penularan kes ke lokaliti lain.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 437 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 69 kes positif Covid-19 direkodkan.

“KKM memaklumkan sebanyak 25 kes masih lagi aktif manakala 29 lagi sampel ujian masih menunggu keputusan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Murni C, Nabawan, Sabah pada 20 April 2021.

“Dalam tempoh tersebut, KKM telah melakukan 548 ujian saringan dan tujuh daripadanya disahkan positif Covid-19.

“KKM juga mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal dengan kes terakhir direkodkan pada 13 April 2021 iaitu satu kes, manakala semua kes positif telah menerima rawatan dan kontak rapat juga diasingkan,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pada Isnin, seramai 196 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 191 individu dikenakan kompaun manakala lima lagi direman.

Kesalahan tiada penjarakan fizikal mencatat jumlah kes tertinggi melibatkan 119 individu, diikuti tidak memakai pelitup muka (21), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (15), aktiviti pusat hiburan (13) dan lain-lain (28).

Menerusi Operasi Benteng semalam, Ismail Sabri berkata, 31 pendatang tanpa izin ditahan dan sembilan kenderaan darat dirampas serta dua pendatang tanpa izin turut diusir.