Kes Waytha Moorthy saman Ibrahim Ali gagal selesai secara baik

P Waytha Moorthy
P Waytha Moorthy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy terhadap Datuk Ibrahim Ali akan diteruskan dengan perbicaraan selepas kedua-dua pihak gagal menyelesaikannya secara baik melalui proses mediasi di Mahkamah Tinggi pada Isnin.

Saman itu difailkan Waytha Moorthy berhubung ucapan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tersebut dalam Mesyuarat Agung Tahunan Perkasa tiga tahun lepas.

Peguam Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri, yang mewakili Ibrahim berkata, tiada sebarang penyelesaian dicapai oleh kedua-dua pihak melalui proses mediasi dan kes itu akan diteruskan dengan perbicaraan bermula 20 hingga 23 September ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

"Setakat ini, pihak defendan mengemukakan empat saksi termasuk anak guam saya (Ibrahim) yang akan memberi keterangan pada perbicaraan itu manakala hanya Waytha Moorthy selaku plaintif akan memberi keterangan.

“Namun ia tertakluk kepada sebarang penambahan saksi sekiranya ada atau perlu," kata peguam itu yang turut memaklumkan prosiding mediasi berlangsung secara dalam talian (Zoom) di hadapan Timbalan Pendaftar Bahagian Pengantaraan (Mediasi) Ahmad Solihin Abd Wahid.

Pada 14 Mac 2019, Waytha Moorthy, 54, memfailkan saman itu selepas mendakwa Ibrahim, 70, yang dinamakan sebagai defendan, telah mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya ketika berucap dalam mesyuarat tersebut yang dianjurkan pada 2 Disember 2018.

Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada hari sama, ucapan defendan itu telah diterbitkan dalam Malay Mail Online bertajuk 'At Perkasa AGM, enraged Ibrahim Ali calls Waytha Moorthy a pig' (Dalam Mesyuarat Agung Tahunan Perkasa, Ibrahim Ali dengan marah memanggil Waytha Moorthy sebagai babi) dan kemudian tular dalam media sosial seperti Facebook, WhatsApp serta Twitter.

Waytha Moorthy mendakwa defendan telah mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah itu dengan niat untuk menghina, merendah-rendahkan, memalukan serta mendedahkannya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan orang ramai dan memberi tekanan kepada kerajaan agar menyingkirkan beliau daripada Kabinet.

Artikel Berkaitan:

Dakwanya, disebabkan defendan mengeluarkan kenyataan itu, plaintif telah benar-benar dimudaratkan dari segi kebolehpercayaan dan reputasi sebagai pemimpin negara serta sebagai Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial. - Bernama