Rakyat Malaysia ditahan di Singapura bersama dadah RM7.1 juta

Dua puluh bungkusan ganja yang dirampas dari bilik stor di unit kediaman di sekitar Choa Chu Kang Ave 4 dalam operasi CNB pada 16 April 2021. - Foto CNB
Dua puluh bungkusan ganja yang dirampas dari bilik stor di unit kediaman di sekitar Choa Chu Kang Ave 4 dalam operasi CNB pada 16 April 2021. - Foto CNB
A
A
A

SINGAPURA - Seorang rakyat Malaysia berusia 22 tahun ditahan di Singapura Jumaat lalu dan dadah yang dirampas daripadanya dianggarkan cukup untuk digunakan 12,000 penagih selama seminggu.

Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura, dalam kenyataan di laman webnya berkata, pegawai CNB menahan pemuda itu di sekitar Choa Chu Kang Ave 4.

Dadah melebihi 40 kilogram bernilai S$2.3 juta (RM7.1 juta), termasuk 16,548 gram heroin, 2,033 gram 'ice', 23,687 gram ganja, dan 110 tablet 'ekstasi' turut dirampas.

Lelaki itu ditahan bersama sejumlah empat bungkusan ganja seberat 3,915 gram, dan selepas menggeledah lokasi persembunyiannya - sebuah unit kediaman di kawasan sama - polis menemui lebih banyak lagi dadah dalam beg pakaian dan beg galas.

Sejumlah lapan bungkusan berisi kira-kira 3,782 gram heroin dan dua bungkusan berisi kira-kira 2,033 gram ‘ice’, dan 110 tablet ekstasi dirampas dari bilik tidurnya.

Turut dirampas, sejumlah 27 bungkusan yang mengandungi kira-kira 12,766 gram heroin dan 20 bungkusan ganja seberat kira-kira 19,772 gram yang dijumpai di bilik stor.

"Siasatan ke atas kegiatan suspek sedang dijalankan," kata CNB.

Jumlah dadah yang dirampas dalam operasi itu cukup untuk kegunaan 7,880 pengguna heroin, 1,160 pengguna ‘ice’ dan 3,380 pengguna ganja selama seminggu, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: