X

Kindly register in order to view this article
!

Suami isteri boleh dapatkan janji temu sama suntikan vaksin

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin semasa sidang media mengenai perkembangan terkini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Ibu Pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini. Foto: Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Pasangan suami isteri boleh mendapatkan tarikh dan waktu janji temu suntikan vaksin Covid-19 bersekali untuk memudahkan pergerakan ke pusat pemberian vaksin, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, ini bagi memenuhi permintaan daripada kelompok itu dan mereka perlu menghubungi talian Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) 1800-888-828 bagi memaklumkan perkara tersebut.

“Kita putuskan akan memberikan janji temu bersekali tetapi kalau suami isteri yang daftar secara berasingan aplikasi MySejahtara masing-masing, kemungkinan janji temu mereka berbeza,” katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan program itu, di sini hari ini.

Selain itu, Khairy berkata, warga emas atau tanggungan lain juga boleh berbuat demikian.

Dalam pada itu, Khairy berkata JKJAV memutuskan atlet yang akan mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat antarabangsa turut diutamakan dalam pemberian vaksin kerana mereka dikategorikan sebagai ‘kepentingan negara’ seperti yang diamalkan oleh New Zealand yang memberikan suntikan kepada atlet yang akan ke Sukan Olimpik.

Menurut Khairy, atlet yang terlibat termasuk skuad bola sepak yang akan ke Emiriah Arab Bersatu bagi melengkapkan baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun depan.

Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata semua warga asing termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), dijangka menerima suntikan vaksin Covid-19 pada fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula Jun ini.

Beliau berkata, bagi pekerja warga asing, sama ada berdokumen atau tidak, majikan bertanggungjawab mendaftarkan mereka untuk menerima suntikan vaksin itu.

Kerajaan sebelum ini bersetuju memperluaskan pemberian vaksin Covid-19 secara percuma kepada warga asing yang menetap di Malaysia, mengambil kira beberapa faktor antaranya persekitaran selamat dan bebas Covid-19.

Ditanya sama ada petugas media akan diberi keutamaan dalam fasa ketiga program imunisasi, Khairy berkata, perkara itu bergantung pada bekalan vaksin.

“Buat masa ini untuk fasa kedua, kita utamakan golongan warga emas, orang kurang upaya dan mereka golongan berpenyakit kronik. Untuk April, janji temu golongan ini sudah penuh. Apa yang saya boleh katakan, menjelang Jun ke atas, kita akan usahakan untuk proses vaksin petugas media,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!