17 penunggang motosikal p-hailing terkorban tahun lalu

Azisman Alias
Azisman Alias
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 17 penunggang motosikal perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan atau p-hailing dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, statistik kemalangan membabitkan motosikal p-hailing pada tahun 2019 pula mencatatkan satu kematian dan lima cedera ringan.

"Pada tahun lalu, sebanyak 17 kematian dicatatkan, selain 10 cedera parah dan 64 cedera ringan," katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.

Azisman berkata demikian bagi menjelaskan laporan media baru-baru ini berhubung dakwaan dua pertiga daripada 2,576 kes maut melibatkan motosikal p-hailing.

Menurut beliau, laporan itu tidak tepat.

"Berdasarkan statistik pada tahun 2019, sebanyak 3,959 kematian direkodkan melibatkan pengguna motosikal berbanding 3,118 kematian pada tahun lalu iaitu menurun 21 peratus," katanya.

Beliau sehubungan itu menasihatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan tanpa merujuk sumber daripada JSPT terlebih dahulu.

“Maklumat yang tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai yang mungkin akan dijadikan sebagai rujukan oleh pihak ketiga pada masa akan datang,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Pada 9 April lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, sebanyak 2,576 kes kematian penunggang motosikal dalam tempoh sembilan bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu melibatkan penunggang p-hailing.

Ketika menyampaikan perkara itu, Ka Siong dilaporkan memetik statistik daripada JSPT.