Agong ucap tahniah kejayaan 2 pelajar Malaysia dalam peperiksaan ACCA

Nurul Fatin (kiri) dan Siti Naziah berjaya menjadi antara 10 teratas dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA). - Foto FB Istana Negara
Nurul Fatin (kiri) dan Siti Naziah berjaya menjadi antara 10 teratas dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA). - Foto FB Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada dua pelajar muda Malaysia atas kejayaan mereka menjadi antara 10 teratas dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara menerusi Facebook pada Isnin, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang Nurul Fatin Nabihah Hamdan dan Siti Naziah Mohamad Nazid yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Seri Paduka juga menzahirkan rasa kagum atas kesungguhan dan semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh kedua-dua pelajar tersebut dalam menghadapi dugaan dan kekurangan bagi mengejar cita-cita mereka.

“Kejayaan kedua-dua pelajar ini sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

"Kejayaan mereka berdua diharap mampu menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing,” titah Yang di-Pertuan Agong.

“Kejayaan ini turut membuktikan bahawa dengan iltizam dan bantuan serta bimbingan, pelajar-pelajar daripada golongan B40 dan asnaf mampu berjaya dengan cemerlang di peringkat global sekiranya diberi peluang,” titah Seri Paduka Baginda lagi.

Seri Paduka turut mendoakan agar kedua-dua pelajar tersebut dilimpahi kejayaan cemerlang yang berterusan dan terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa pada masa akan datang.

Nurul Fatin Nabihah, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) tajaan Yayasan Sime Darby, berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi kertas Strategic Business Reporting (SBR).

Artikel Berkaitan:

Anak sulung daripada empat beradik itu kehilangan bapa pada usia 11 tahun dan kemudiannya dibesarkan oleh bapa tiri yang bekerja sebagai petani, sementara ibunya merupakan suri rumah.

Sekalipun hanya mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Nurul Fatin Nabihah turut lulus satu lagi kertas peperiksaan yang diambilnya, iaitu Advanced Taxation (ATX).

Sementara itu, Siti Naziah yang merupakan pelajar tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat kesembilan di dunia bagi kertas Audit & Assurance (AA).

Siti Naziah, anak sulung daripada dua beradik, menghadapi dugaan besar pada 2018 apabila kehilangan ayah akibat kanser ketika dia sedang sibuk membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan Certified Accounting Technician (CAT).

Kedua-dua pelajar di bawah seliaan Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) itu merupakan antara 92,000 calon dari seluruh dunia yang menduduki peperiksaan tersebut bagi sesi Mac 2021. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pelajar tajaan MyPAC harumkan nama negara