2,078 kes baharu Covid-19 hari ini

Sebanyak 2,078 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini.
Sebanyak 2,078 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 2,078 kes baharu positif Covid-19 di negara ini pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan ialah sebanyak 377,132 kes.

"Terdapat sebanyak 13 kes import dan 2,065 kes penularan dalam negara melibatkan seramai 1,885 rakyat tempatan dan 180 warga asing," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kes aktif di seluruh negara ketika ini ialah sebanyak 20,522 kes.

"Terdapat seramai 288 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 93 memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, KKM turut melaporkan sebanyak lapan kematian baharu dilaporkan di lima hospital.

"Kesemua pesakit membabitkan rakyat tempatan berusia 35 hingga 89 tahun dan mempunyai sejarah penyakit lain," katanya.

Tambah beliau, sebanyak 1,402 kes pulih sepenuhnya menjadikan jumlah kumulatif kes pulih ialah sebanyak 355,224 kes.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai penularan dalam negara, Dr Noor Hisham berkata, Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 589 kes.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 450 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat kes positif Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Ujarnya, Selangor melaporkan sebanyak 457 kes diikuti Kelantan (290), Kuala Lumpur (153), Sabah (125), Johor (115), Pulau Pinang (91) dan Negeri Sembilan (91).

Negeri lain ialah Kedah sebanyak 48 kes, selain Perak (43), Pahang (32), Melaka (27), Terengganu (lapan), Labuan (enam), Putrajaya (dua) dan Perlis (satu).

"Sebanyak 13 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di penjara membabitkan 12 kes bagi Kluster Telok Mas dan satu kes daripada Kluster Tembok Pengkalan Chepa," katanya.