Promosi judi ketika Ramadan menghina Islam secara terang

Kenyataan yang dimuat naik di Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak pada Isnin.
Kenyataan yang dimuat naik di Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Pembikinan iklan promosi judi sebagaimana disiarkan di media sosial kebelakangan ini adalah satu tindakan menghina agama Islam secara terang-terangan.

Jabatan Mufti Perak dalam satu kenyataan berkata, ia bukan sahaja dilakukan pada bulan Ramadan yang begitu mulia kedudukannya di sisi umat Islam, malah iklan berkenaan dilakonkan sendiri mereka yang beragama Islam dalam suasana sambutan hari raya.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab kepada semua individu dan syarikat untuk menjaga sensitiviti mana-mana kaum termasuk umat Islam yang merupakan masyarakat majoriti di negara ini.

"Ketika umat Islam di negara ini dan negara-negara Islam yang lain sedang berpuasa, kita dikejutkan dengan iklan promosi judi di laman-laman sosial.

"Adalah satu tindakan menghina agama Islam secara terang-terangan dengan pembikinan iklan promosi tersebut dilakukan pada bulan Ramadan yang begitu mulia kedudukannya di sisi umat Islam.

"Tambahan pula iklan tersebut dilakonkan sendiri oleh pelakon beragama Islam dalam suasana sambutan hari raya," katanya sepertimana kenyataan yang dimuat naik di Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak pada Isnin.

Kenyataan sama memaklumkan bahawa judi adalah satu perkara yang jelas telah diharamkan oleh Islam kerana ia boleh membawa kepada permusuhan, mengutuk dan pertelingkahan serta merupakan suatu bentuk mengambil harta orang lain secara batil selain melalaikan manusia dari mengingati Allah dan mengerjakan solat.

Katanya, menjadi kewajiban kepada umat Islam tidak terkecuali pelakon muslim untuk menjauhi dan menghindar sumber pendapatan yang tidak halal, ini termasuklah memperhalusi terma-terma dalam kontrak perjanjian sama ada mematuhi piawaian syarak atau tidak.

Artikel Berkaitan:

"Bentuk-bentuk judi adalah pelbagai dan umat Islam perlu berhati-hati supaya tidak terjebak dengan perangkap judi kerana kadang-kadang terkeliru dengan nama yang digunakan seperti peraduan, pertandingan atau sukan.

"Secara umum setiap permainan yang mengandungi unsur pertaruhan adalah judi dan ia sama sekali dilarang," katanya.

Jabatan Mufti Perak turut merakamkan penghargaan terhadap usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertindak pantas menyekat penularan iklan tersebut serta menahan individu-individu yang terlibat.

Pada Jumaat, tular iklan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh syarikat perjudian yang mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi meraih wang berganda tular di media sosial.

Iklan perjudian berkenaan turut menggunakan khidmat beberapa pelakon dipercayai Muslim tampil dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu menerusi iklan mereka.

Sehari kemudian satu lagi video iklan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan mempromosikan perjudian online turut tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN:'Sindiket judi online cuba hidup kembali'

‘Trend beraya dengan duit judi’