Harga ayam standard RM7.90 sekilogram

KPDNHEP menetapkan harga ayam standard pada RM7.90 sekilogram.
KPDNHEP menetapkan harga ayam standard pada RM7.90 sekilogram.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP ) menetapkan harga ayam standard pada RM7.90 sekilogram.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kenaikan lima peratus daripada harga asal RM7.50 sekilogram itu adalah selepas perbincangan diadakan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

"Kerajaan juga mengambil kira maklum balas daripada pengeluar, pemborong dan peruncit bagi penetapan harga ini," katanya pada sidang akhbar sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 pada Isnin.

Menurutnya, kenaikan harga itu disebabkan peningkatan kos makanan ternakan ayam iaitu jagung dan soya sejak Januari lalu yang diimport.

"Pasukan penguatkuasaan kita telah mengesan memang terdapat kenaikan harga dedak ayam yang diimport. Ini adalah fakta," katanya.

Beliau berkata, kawalan harga dilaksanakan di setiap peringkat rantaian pengedaran ayam iaitu peringkat ladang, borong dan runcit bagi mengekang kenaikan harga ayam yang tinggi sepertimana yang dilaporkan kebelakangan ini.

"Penetapan ini tidak membebankan peniaga kerana setiap rantaian pengedaran ayam tersebut telah mendapat keuntungan masing-masing," katanya.

Nanta berkata, penetapan harga ayam pada paras itu juga dijangka dapat mengurangkan rungutan rakyat berhubung isu kenaikan harga terutamanya bagi ayam yang merupakan sumber protein yang mudah diperolehi.

Artikel Berkaitan:

"Kawalan harga ini hanya pada ayam hidup, ayam standard dan ayam super semasa musim perayaan hari raya puasa sahaja," katanya.

Sebelum ini, pengguna merungut selepas mendapati harga ayam mengalami peningkatan mendadak dan dijual sehingga RM9.20 sekilogram.

Kenaikan itu dilaporkan di seluruh negara sejak Ramadan bermula minggu lalu.