X

Kindly register in order to view this article
!

4 tan al-Quran, buku doa rosak akibat banjir dilupus

Kira-kira empat tan al-Quran termasuk buku doa yang rosak akibat banjir di Pahang awal tahun ini sudah dilupuskan. Foto Bernama
A
A

KUANTAN - Kira-kira empat tan al-Quran termasuk buku doa yang rosak akibat banjir di Pahang awal tahun ini sudah dilupuskan.

Pengusaha Pusat Pemulihan al-Quran Temin Mohamad Zakaria berkata, pihaknya mula menerima naskhah berkenaan daripada Pejabat Agama Islam daerah pada hujung Januari lepas dengan kerja-kerja pelupusan masih dilaksanakan sehingga kini.

Menurutnya proses pelupusan al-Quran mengambil masa sehingga dua hari dan perlu dilaksanakan dengan rapi mengikut syariat Islam bagi memelihara kemuliaannya.

"Keseluruhannya kami menerima hampir enam tan al-Quran, buku doa dan Yasin yang rosak disebabkan banjir dari daerah Temerloh, Jerantut dan Lipis. Sehingga kini masih berbaki dua tan untuk dilupuskan.

"Proses pelupusan dilaksanakan setiap hari sejak Januari lepas. Kesemua naskhah berkenaan harus dikeringkan terlebih dahulu sebelum pembakaran dilakukan...hanya 200 kilogram naskhah dapat dibakar dalam satu sesi yang memerlukan masa 48 jam," katanya.

Bercerita lanjut mengenai proses pelupusan berkenaan, beliau yang mengusahakan pusat berkenaan dengan rakannya Zainal Idris berkata kitab kalamullah itu akan dibuka dan disusun untuk dikeringkan terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam mesin insinerator untuk tujuan pembakaran dan dibiarkan sehingga keesokannya.

"Biasanya kami akan mula membakar sekitar 8 pagi sehingga 5 petang, kemudian biarkan naskhah berkenaan sehingga keesokan harinya di dalam mesin itu supaya bara api padam dan menjadi abu sepenuhnya," katanya yang mengusahakan pusat berkenaan sejak 2014.

Menurut beliau, sejurus selesai pembakaran, proses pembekuan dilakukan dengan memasukkan abu ke dalam acuan seramik sekitar 10 hingga ke 15 minit.

"Kami akan pastikan pembakaran itu sempurna iaitu bebas karbon sebelum melakukan proses pembekuan ini untuk mengelakkan abu berterbangan yang kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan Kampung Temin, Jerantut untuk ditanam," jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!