Astro pelawa stesen TV siar serentak

World #QuranHour yang bersiaran secara langsung pada 6 Mei ini.
World #QuranHour yang bersiaran secara langsung pada 6 Mei ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Astro mempelawa semua stesen televisyen di tanah air untuk mengambil liputan siaran langsung World #QuranHour secara serentak pada 6 Mei ini daripada platform Astro Oasis.

Ketua Penerbitan TV dan Digital Nu Ideaktiv, Mohd Fareed Sharif berkata, Astro Oasis sebagai penyiar utama World #QuranHour memberi persetujuan untuk memberikan liputan secara percuma.

“Kita berharap dapat bekerjasama dan bergabung dengan stesen TV lain termasuk TV Alhijrah, RTM dan Media Prima untuk World #QuranHour bersiaran secara langsung pada hari tersebut. Ini memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia, malah satu dunia menyertai World #QuranHour di lokasi masing-masing.

“World #QuranHour merupakan platform sangat bagus untuk diketengahkan sebagai acara besar sebagaimana sambutan Hari Kemerdekaan. Walaupun program tersebut bukan satu kewajipan untuk diraikan, sekurang-kurangnya sebagai umat Islam kita perlu menghargai waktu yang diangkat untuk memuliakan al-Quran.

“Kadangkala kita jarang mendekati al-Quran dalam kehidupan seharian. Dengan menyertai World #QuranHour dalam tempoh satu jam, ia diharapkan dapat menyuntik semangat untuk terus membaca al-Quran pada hari-hari seterusnya,” katanya di sini.

Tambah beliau, Astro Oasis berkolaboratif dengan penganjur #QuranHour iaitu Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) untuk menjayakan World #QuranHour sejak tahun 2016.

Pada tahun lepas, katanya, Astro tidak bersama untuk mengadakan program di lapangan kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini bagi mengekang penularan Covid-19.

“Tahun ini kita mendapat sedikit kelonggaran oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengadakan majlis dengan syarat menjaga penjarakan sosial dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dengan kebenaran dan kelulusan diberikan untuk menganjurkan World #QuranHour di Masjid Tuan Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, bilangan hadirin dihadkan seramai 300 orang termasuk produksi dan tetamu jemputan di lokasi tersebut ketika siaran langsung di Astro Oasis dari jam 12 hingga 1 tengah hari.

“Astro menampilkan selebriti Raqib Majid dan Ameera Osman sebagai hos bagi program berinteraksi dengan al-Quran ini. Sebelum ini Raqib menjadi qari di World #QuranHour. Turut sama ialah personaliti TV, Amin Idris sebagai pengacara di lapangan.

“Seramai 12 qari sebagai pembawa Panji Surah Al-Mulk termasuk PU Amin dan Imam Muda Megat membimbing bacaan ayat al-Quran,” kata beliau.

Mohd Fareed Sharif
Mohd Fareed Sharif

Mohd Fareed berkata, seramai 50 kru terlibat termasuk kru produksi Nu Ideaktiv dan Teknikal Astro untuk menjayakan penyiaran program tersebut secara langsung.

Jelas beliau, ia melibatkan kos keseluruhan bagi penerbitan sebanyak RM150,000.

“Berdasarkan pengalaman lima tahun dalam pelaksanaan World #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World Kids @QuranHour, dari segi format penyampaian adalah sama dan 'straightforward'.

“Cabaran utama kita sebagai kru produksi adalah dari segi menjaga protokol ketika menerima kehadiran tetamu kehormat sama hadir atau tidak. Oleh itu, kita mempunyai dua pelan dalam menangani perkara tersebut agar proses penggambaran tersebut berjalan lancar.

“Secara keseluruhannya World #QuranHour merupakan acara yang sangat bermanfaat untuk semua rakyat. Cuma cabaran dalam menyiarkan program agama menerima 30 peratus orang yang berminat. Namun dari tahun ke tahun, jenama World #QuranHour semakin dikenali melalui platform pelbagai media Astro Oasis dan bilangan penonton juga semakin bertambah,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menyertai World #QuranHour 1442H/2021, boleh mendaftar di lokasi masing-masing di http://bit.ly/HOTSPOT1442H