X

Kindly register in order to view this article
!

159 pelajar di JB diarah jalani saringan Covid-19

Deretan kenderaan memenuhi OSCAC di Pasir Gudang dan Bukit Indah membawa pelajar beberapa sekolah untuk menjalani ujian saringan Covid-19 pada Ahad. (Gambar kecil: R Vidyananthan)
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 159 pelajar daripada lima sekolah di sekitar Johor Bahru telah diarahkan untuk menjalani saringan Covid-19 pada Ahad.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, saringan itu dilakukan di Pusat Sehenti Penilaian Covid-19 (OSCAC) Pasir Gudang dan Bukit Indah sebagai kawalan bagi memastikan tiada penularan Covid-19 di sekolah yang dikenal pasti.

Bagi setiap warga sekolah yang dilaporkan positif, katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan menjalankan survelan dan saringan kontak rapat bagi mengelakkan penularan berlaku.

"Kebelakangan ini, Johor merekodkan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan dalam kalangan warga sekolah membabitkan guru dan pelajar.

"Kebanyakan kes dikesan akibat penularan di dalam rumah berikutan aktiviti sosial keluarga apabila ramai ahli keluarga dari jauh bertemu dan berkumpul," katanya satu dalam kenyataan pada Isnin.

Vidyananthan berkata, kebanyakan kunjungan keluarga dari jauh itu dikesan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan 3S iaitu elakkan ruang sempit, sesak dan sembang dekat.

"Masih ada keluarga yang mengadakan aktiviti sosial keluarga seperti berkumpul di pusat hiburan, kenduri kahwin dan aktiviti riadah secara berkumpulan tanpa mematuhi SOP ditetapkan.

"Masyarakat juga hendaklah menghindari buat sementara daripada mengadakan program sosial yang akan meningkatkan risiko penularan Covid-19. Johor masih lagi belum berada di zon hijau dan masih kekal melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sekali gus risiko penyebaran wabak masih tinggi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Vidyananthan berkata, sehingga Sabtu, seramai 59,747 anggota barisan hadapan sudah menerima imunisasi vaksin Covid-19 dos pertama.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 28,348 orang sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

"Pelaksanaan fasa satu ini dijangka selesai pada akhir bulan ini bagi memberi laluan kepada fasa dua yang dijangka bermula pada akhir bulan ini juga. Ia membabitkan golongan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta bermasalah penyakit kronik," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!