10 ditahan seludup rokok, minuman keras

Abdul Majid (tengah) melihat rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang dirampas ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada Isnin.
Abdul Majid (tengah) melihat rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang dirampas ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Seramai 10 individu termasuk seorang wanita ditahan dalam Ops Kontraban kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan rokok serta minuman keras sejak tahun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, kesemua mereka berusia 22 hingga 62 tahun itu ditahan dalam sembilan serbuan berasingan sekitar daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah bermula 13 April hingga Ahad lalu.

Beliau berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6 itu turut merampas sebanyak 928,050 batang rokok putih dan kretek serta 45 botol arak pelbagai jenama tanpa cukai dianggarkan nilai pasaran semasa berjumlah RM685,000.

Menurutnya, kumpulan sindiket itu dipercayai bertindak sebagai penghantar bekalan bagi pasaran dalam negeri ini, malah siasatan awal mendapati terdapat pekedai yang menerima bekalan tersebut.

"Pemeriksaan yang dilakukan dalam rumah dan stor menemui rokok dan arak. Jadi kita percaya lokasi ini dijadikan tempat penyimpanan barang tidak sah ini selain dalam kenderaan sebelum dijual di kedai-kedai runcit dan pasar raya terpilih," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, empat kenderaan turut dirampas iaitu dua jenis Proton Exora serta masing-masing satu Honda Accord dan Honda City yang dipercayai digunakan untuk menghantar bekalan.

"Hasil semakan mendapati lima daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah. Kesemua mereka direman sehingga 27 April ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Majid berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bazar Ramadan di negeri ini perlu dipertingkatkan kerana terdapat segelintir pengunjung yang masih tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan membawa kanak-kanak bersama.

Artikel Berkaitan:

"Malah, kita mendapati ada penganjur bazar Ramadan tidak menutup sepenuhnya kawasan keluar masuk menyebabkan pengunjung lolos, termasuk menggunakan 'jalan tikus' tanpa membuat saringan suhu atau mendaftar MySejahtera," katanya.