Polis berkas penganggur edar syabu

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SERDANG - Polis merampas lebih sembilan kilogram (kg) dadah jenis Syabu selepas menahan seorang penganggur dalam operasi di Serdang Raya di sini pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Serdang melancarkan operasi pada jam 5.30 petang.

"Kita telah mengesan sebuah kereta berwarna hitam tiba di lokasi kejadian, suspek kemudian telah mengeluarkan beg dari but kereta dan meletakkannya di tempat duduk penumpang depan kenderaan itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini pada Isnin.

Mohd Rosdi berkata, polis cuba mendekati suspek yang berusia 201-an itu tetapi dia bertindak agresif dan berlaku pergelutan sebelum lelaki itu ditahan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati lima bungkusan mengandungi 5.15 kilogram bahan kristal dipercayai syabu di dalam beg itu.

"Pemeriksaan tempat duduk belakang kereta pula menemui kotak yang mengandungi empat bungkusan lagi yang mengandungi 4.12 kilogram bahan sama," katanya.

Mohd Rosdi berkata, jumlah rampasan dadah dianggarkan bernilai RM380,000.

Menurutnya, suspek terbabit mempunyai tujuh rekod berkaitan kes jenayah dan dadah bergiat aktif edar dadah sejak sebulan lalu.

Artikel Berkaitan:

"Lelaki berkenaan kini direman hingga Khamis bagi membantu siasatan," katanya.