X

Kindly register in order to view this article
!

Pendaftaran vaksinasi Covid-19 di Pulau Pinang perlahan

Kon Yeow mengadakan lawatan di pusat pemberian vaksin Covid-19 di Kompleks Masyarakat Penyayang, Georgetown pada Isnin.
A
A

GEORGETOWN - Pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di negeri ini masih lagi perlahan walaupun telah memasuki fasa kedua pada Isnin.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, setakat Ahad, jumlah pendaftaran yang diterima hanya seramai 622,839 atau sekitar 44.8 peratus.

“Semalam saya ingatkan pendaftaran penerima vaksin sudah sampai 50 peratus sebab saya pernah umumkan yang kita sudah capai sekitar 40 peratus. Tetapi setakat ini kita hanya capai sebanyak 44.8 peratus.

“Ini menunjukkan jumlah pendaftaran vaksin masih lagi perlahan. Saya berharap dengan pelancaran fasa kedua ini, jumlah pendaftaran akan meningkat dan mencapai sasaran ditetapkan kerajaan,” katanya ketika sidang akhbar di sini pada Isnin.

Kon Yeow sebelum itu mengadakan lawatan di pusat pemberian vaksin Covid-19 daerah Timur Laut di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini bagi melihat perjalanan fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melibatkan warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU).

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Asmayani Khalib.

Sementara itu, Kon Yeow mengingatkan orang ramai terutama mereka yang sudah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera supaya kerap menyemak tarikh temu janji untuk menerima vaksin berkenaan.

Ujarnya, hampir 30 peratus individu yang telah mendaftar tidak menyemak tarikh temu janji serta tidak mengesahkan kehadiran mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut.

“Perkara seperti ini akan menjejaskan kelancaran program imunisasi sekiranya perkara wajib seperti mengesahkan kehadiran tidak dilakukan oleh mereka yang sudah mendaftar,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Asmayani berkata, Pulau Pinang antara negeri yang terawal melaksanakan proses pemberian vaksin Covid-19 fasa kedua.

Beliau berkata, seramai 2,024 warga emas berusia lebih 80 tahun akan menerima vaksin Covid-19 di lima pusat pemberian yang disediakan di negeri ini.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!