'Terima kasih YB Syed Saddiq'

Syed Saddiq (tiga kanan) menerima jersi daripada Ahmad ketika kunjungan hormat, Jumaat lalu.
Syed Saddiq (tiga kanan) menerima jersi daripada Ahmad ketika kunjungan hormat, Jumaat lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyambut baik keterbukaan dan komitmen Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abul Rahman yang tidak meminggirkan pembangunan sukan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, kelulusan menyalurkan peruntukan dapat merancakkan lagi perkembangan sukan di Kelantan.

Menurutnya, menteri telah membuktikan kenyataannya sebelum ini yang mana sukan tidak boleh dipolitikkan dan perkara tersebut amat menggembirakan Kelantan.

“Terima kasih YB Menteri luluskan dana. Sejak mesyuarat pertama bulan Ogos lalu saya sudah bangkitkan untuk memajukan sukan di Kelantan dan untuk itu infrastruktur di Kelantan perlu dinaiktarafkan.

“Kita akan gerakkan kerja-kerja naik taraf secepat mungkin. Kita juga akan tambah astaka baharu dan ‘astaka batu’ bakal diubah dengan meletakkan kerusi,” katanya kepada Sinar Harian.

Jumaat lalu, Kementerian Belia dan Sukan mengumumkan peruntukan lebih RM20 juta pada tahun ini kepada Kelantan yang mana antara kemudahan bakal di bina ialah beberapa padang sintetik dan naik taraf Stadium Sultan Muhammad IV.

Dalam pada itu, Wan Roslan memberitahu, kementerian juga turut mencadangkan supaya kerajaan negeri mengenal pasti kawasan yang bersesuaian untuk pembinaan litar bagi aktiviti bersesuaian.

“Kita sudah kenal pasti satu kawasan iaitu di Tanah Merah. Kita akan semak balik dan hantar laporan lengkap kepada menteri nanti.

Artikel Berkaitan:

“Menteri mahu ada tempat untuk anak-anak muda menjalankan aktiviti yang sihat dan kita menyambut baik cadangan ini untuk dilaksanakan,” katanya.

Jumaat lalu juga, Syed Saddiq membuat kunjungan hormat terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Yacob di kediaman rasminya di JKR 10 yang turut disertai Wan Roslan.