Tiga beranak cedera gerai tebu dirempuh kereta

Kereta Nissan Sentra yang dipandu seorang lelaki merempuh sebuah gerai di Jalan Limbongan pada Ahad.
Kereta Nissan Sentra yang dipandu seorang lelaki merempuh sebuah gerai di Jalan Limbongan pada Ahad.
A
A
A

MELAKA - Tiga beranak cedera selepas gerai air tebu milik mereka dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah dalam kejadian di Jalan Limbongan di sini, pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, dalam kejadian jam 5.21 petang itu, peniaga, Norazizah Jenal, 57, bersama dua anaknya, Nurul Ayu Umairah Samsudin,15, dan Muhammad Aliff Hazimie Samsudin,13, sedang berniaga kuih dan air tebu di gerai tersebut.

"Secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun dari arah bandar menghala ke Klebang, hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh gerai tiga beranak itu.

"Akibat kemalangan itu, wanita terbabit dan anak lelakinya cedera di bahagian kaki manakala anak perempuannya cedera di bahu kanan, perut dan kaki kiri," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Afzanizar berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kemalangan itu turut menyebabkan sebuah motosikal mangsa mengalami kerosakan.

Menurutnya, pemandu kereta yang bekerja sebagai juruteknik tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian air kencing mendapati lelaki beralamat di Pasir Putih, Kelantan itu positif methamphetamine serta heroin selain tidak memiliki lesen memandu.

"Siasatan lanjut juga mendapati lelaki itu mempunyai rekod lampau membabitkan kes dadah dan permohonan reman terhadapnya akan dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) dan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987, serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: