Neitzel tabik Red Giants tidak mudah menyerah kalah

Pemain Melaka United, Ahmad Syamim Yahya (dua, kanan) cuba menghalang kemaraan pemain Selangor, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat pada Ahad. - Foto Bernama
Pemain Melaka United, Ahmad Syamim Yahya (dua, kanan) cuba menghalang kemaraan pemain Selangor, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KETUA Jurulatih Selangor, Karsten Neitzel mengingatkan The Red Giants agar terus mengekalkan momentum setelah meraih kemenangan 3-2 ke atas Melaka United di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini.

Meskipun ketinggalan dua gol pada babak pertama dan kedua, Neitzel tetap memuji semangat kental anak buahnya yang tidak berhenti mencuba dan mencipta peluang untuk mengalahkan tuan rumah sehingga wisel penamat ditiupkan.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Neitzel mengakui beliau sangat berpuas hati setelah pasukan bimbingannya itu berjaya memperoleh tiga mata penuh untuk memastikan The Red Giants terus mendaki kedudukan tertinggi liga.

"Kedua-dua pasukan bermain dengan sebaik mungkin, tuan rumah memberi tentangan hebat buat kami, peluangnya 50-50 tetapi pemain kami tidak menyerah kalah dan bermain dengan lebih konsisten pada babak kedua untuk memberi tekanan kepada tuan rumah.

"Kami mempunyai pemain pengganti yang bagus malam ini, tetapi apa yang lebih penting adalah kerjasama pasukan, mereka tetap fokus hingga ke akhir perlawanan," katanya pada sidang media di sini pada Ahad.

Pada pertemuan itu, skuad Hang Tuah mendahului pelawanan menerusi gol dijaringkan penyerang import dari Montenegro, Stefan Nikolic pada masa tambahan babak pertama sebelum The Red Giants menyamakan kedudukan pada minit keenam pada babak kedua.

Skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu sekali lagi mendahului melalui jaringan oleh Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-58, tetapi Selangor sekali lagi mengejar dengan gol penyamaan Ifedayo pada minit ke-70 sebelum mengutip tiga mata penuh menerusi gol kemenangan Muhammad Syahmi Safari pada minit ke-88.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan ternyata kecewa dengan kekalahan kedua berturut-turut pasukan itu di laman sendiri dan katanya kecuaian pada babak akhir permainan mengundang padah kepada pasukannya.

Artikel Berkaitan:

"Kami berjaya menyumbat dua gol mudah dan ia menjadi pengajaran kepada kami. Buat masa ini, kami perlu memperbaiki prestasi pasukan untuk menghadapi perlawanan seterusnya," katanya.

Selangor kini berada pada tangga kelima liga dengan 14 mata manakala Melaka United di tangga ke-10 dengan tujuh mata.