APHM puji usaha kerajaan urus vaksinasi Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) memuji usaha dan kejayaan kerajaan menguruskan fasa satu suntikan vaksin Covid-19 untuk petugas barisan hadapan khususnya pekerja penjagaan kesihatan swasta.

Presidennya Datuk Dr Kuljit Singh berkata usaha bersama kedua-dua menteri; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, telah membuktikan kejayaan program vaksinasi itu setakat ini.

“Kerjasama antara awam dan swasta terbukti dalam program ini kerana keseluruhan proses vaksinasi untuk penjagaan kesihatan swasta dilaksanakan tanpa sebarang kesulitan atau gangguan besar walaupun beberapa negeri berdepan sedikit kelewatan dalam memulakan suntikan vaksin penjagaan kesihatan swasta, tetapi ia dilakukan dengan baik selepas program itu bermula.

“Kedua-dua pegawai penjagaan kesihatan awam dan swasta bekerjasama dengan lancar di hospital swasta untuk melakukan vaksinasi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin

Beliau berkata persatuan itu belum dimaklumkan mengenai sebarang jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja kesihatan swasta selepas suntikan dos pertama dan kedua tetapi ia akan diasingkan dan dengan gejala ringan sekiranya ia berlaku.

“Pandangan kami adalah vaksinasi itu penting dan kami melihat peningkatan tahap keyakinan petugas kesihatan kami semasa bertugas menguruskan pesakit Covid-19 di hospital swasta selepas menyelesaikan vaksinasi.

“Bagaimanapun, kami telah menasihatkan semua petugas penjagaan kesihatan swasta kami untuk mengekalkan tahap berjaga-jaga dan pematuhan tertinggi prosedur operasi standard (SOP) walaupun telah selesai vaksinasi,” kata Dr Kuljit. - Bernama

Artikel Berkaitan: