Lelaki didenda RM2,000 kerana buat laporan palsu dakwa diragut

Kumaran (kiri) dan Prasad Kumar dibawa keluar oleh anggota polis dari pekarangan Mahkamah Majistret Sungai Siput sebaik selesai prosiding pada Isnin.
Kumaran (kiri) dan Prasad Kumar dibawa keluar oleh anggota polis dari pekarangan Mahkamah Majistret Sungai Siput sebaik selesai prosiding pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Gara-gara mahu lari dari membayar pinjaman ah long, seorang lelaki didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput di sini pada Isnin selepas mengaku membuat laporan palsu diragut yang menyebabkannya kehilangan beg dompet, minggu lalu.

R Kumaran, 41, yang juga pekerja kontrak membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Mengikut pertuduhan, Kumaran didakwa dengan sengaja memberi maklumat bertulis yang diketahui sebagai palsu kepada seorang pegawai penyiasat polis di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput pada jam lebih kurang 12 tengah hari, 8 April lepas.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh membuat laporan mendakwa telah diragut dua lelaki bermotosikal di jalan besar Dovenby di sini dan kehilangan beg dompet sedangkan kejadian itu tidak benar berlaku.

Tertuduh membuat laporan palsu itu bertujuan memberitahu pihak pinjaman wang (ah long) bahawa dirinya tidak dapat membayar pinjaman disebabkan duit yang disediakan telah diragut.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Dalam prosiding berasingan, seorang pemandu lori turut dijatuhi hukuman denda RM2,000 dan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu kehilangan kad pengenalan.

Artikel Berkaitan:

B Prasad Kumar, 33, didakwa dengan sengaja memberi maklumat palsu kepada seorang pegawai penyiasat polis di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Sungai Siput pada jam lebih kurang 2.40 pagi, 10 April lepas.

Tertuduh mendakwa telah diragut dua lelaki bermotosikal di hadapan Dewan Konvensyen Tun Sambanthan di sini dan mengaku telah kehilangan telefon bimbit, lesen memandu dan kad pengenalan dengan alasan takut dikenakan denda yang tinggi semasa mendapatkan gantian kad pengenalan baharu.

Kesemua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.