Warga emas ditahan ketika leka punggah rokok seludup

Dua lelaki yang ditahan bersama rokok seludup. - Foto: Ihsan PGA
Dua lelaki yang ditahan bersama rokok seludup. - Foto: Ihsan PGA
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua warga emas yang sedang asyik memunggah rokok seludup terpaksa berputih mata apabila ditahan sepasukan polis dari Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Simpang Renggam dalam Op Kontraban pada Ahad.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 65 dan 66 tahun itu ditahan di kawasan Jalan Abu Bakar, Batu Pahat kira-kira jam 4 petang.

"Ketika ditahan, mereka sedang memunggah kotak rokok berjumlah 250 karton rokok dipercayai tiada cukai Kastam.

"Turut dirampas, kereta jenis Toyota Camry dan Proton Saga yang dipercayai digunakan dalam sindiket tersebut. Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM94,000," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Antara rokok seludup yang dirampas. - Foto: Ihsan PGA
Antara rokok seludup yang dirampas. - Foto: Ihsan PGA

Jelas Dimin, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

"Saya menyeru kepada orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban," ujarnya.