Operasi rokok seludup perlu dipergiat

No Image Caption
A
A
A

BEBERAPA bulan pertama tahun 2021 ini, pasukan keselamatan Malaysia dilaporkan mencatat beberapa rampasan besar rokok seludup yang cuba dibawa masuk dan keluar dari negara ini.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 73,355,624 batang rokok seludup bernilai RM6.3 juta sepanjang tempoh tiga bulan bermula Januari hingga 31 Mac 2021.

Pada 10 Mac, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 merampas rokok seludup bernilai RM52 juta dari sebuah kapal kargo di perairan Pantai Barat berhampiran Pulau Kukup, Pontian di Johor.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, berkata ia rampasan rokok terbesar dalam sejarah negara.

Juga di Johor, JDKM merampas 72,000 batang rokok yang dianggarkan bernilai RM56,232 yang disembunyikan di dalam ruang khas meja pasang siap untuk diseludup ke Singapura.

Amat jelas kartel rokok seludup yang beroperasi di Malaysia menjadikan negara ini bukan sahaja sebagai lubuk jualan tetapi juga pusat pengedaran ke negara serantau.

Australia dengan pasukan penguatkuasaannya dilaporkan menahan kiriman rokok seludup yang disyaki diimport dari Malaysia. Ini amat memalukan.

Pencapaian pihak penguatkuasaan undang-undang dalam usaha membanteras rokok seludup ini amat memberangsangkan. Rampasan rokok seludup oleh agensi penguatkuasa meningkat secara drastik pada suku pertama 2021.

Artikel Berkaitan:

Peningkatan itu berlaku selepas kerajaan melaksanakan dasar dan langkah-langkah untuk mengawal kemasukan rokok tidak sah ke negara ini seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Belanjawan 2021.

Langkah-langkah kawalan rokok tidak sah yang diumumkan oleh kerajaan serta dilaksanakan pada 1 Jan 2021 itu amat tepat dan dialu-alukan.

Antara langkah-langkah yang telah dilaksanakan ialah mulai 1 Januari 2021, kerajaan membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu, mengehadkan aktiviti transhipment rokok kepada pelabuhan tertentu sahaja.

Selain itu, pengenalan cukai dengan kemudahan pulang balik atau drawback ke atas semua rokok import bagi tujuan dieksport semula, tidak membenarkan aktiviti transhipment dan eksport semula rokok menggunakan bot kumpit serta mengenakan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di semua Pulau Bebas Cukai.

Langkah-langkah ini memaksa penyeludup menukarkan modus operandi kepada penyeludupan melalui pesisir pantai, sempadan negara dan pengisytiharan palsu namun sukar kerana kawalan ketat oleh pelbagai agensi berkaitan termasuk polis marin dan kastam.

Taktik borang K8

Sebelum dasar baharu diperkenalkan, penyeludup menggunakan borang Kastam K8 ketika ditahan konon rokok-rokok tersebut sedang dalam transit atau dieksport semula ke Thailand dan Pulau Bebas Cukai.

Taktik yang digunakan menyebabkan amat sukar untuk penguasa mensabitkan kesalahan mereka. Borang Kastam K8 dahulunya disalahgunakan untuk mengaburi mata penguat kuasa.

Walaupun aktiviti transhipment dan pengimportan rokok untuk dieksport semula telah dihadkan tetapi masih dibenarkan, transhipment melalui jalan darat perlulah diperketatkan kelulusannya kerana itu adalah alasan yang mereka gunakan sebelum ini bagi menyeludup masuk rokok tidak sah ke negara ini.

Antara lain, aktiviti tersebut perlu diperhatikan dengan teliti supaya hanya transhipment yang bona fide dibenarkan iaitu transhipment yang diiringi dengan lesen import dari negara destinasi; serta produk dan bungkusan yang mematuhi peraturan negara destinasi seperti kadar tar dan nikotin, dan amaran kesihatan negara destinasi.

Sekiranya tidak, kemungkinan besar ia adalah hanya lakonan oleh penyeludup. Perniagaan rokok tidak sah amat besar dan menguntungkan, dianggarkan berjumlah 12 bilion batang setahun.

Sudah tentulah kartel-kartel licik akan berusaha mencari peluang untuk memasuki semula ke negara ini secara mudah.

Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) yang ditubuhkan pada tahun 2020 boleh menjadi aset yang sangat berkesan bagi membanteras dagangan haram di Malaysia jika wujud kesungguhan politik dan sokongan secukupnya diberikan kepada pasukan petugas untuk melaksanakan tugas mereka.

Kita amat berharap MATF diberi sokongan padu kerajaan daripada segi sumber-sumber yang tepat seperti pembiayaan yang mencukupi, latihan dan peralatan supaya MATF boleh berfungsi sewajarnya.

MATF tidak dapat berfungsi tanpa kesungguhan politik dan sokongan kewangan. Apabila rokok tidak sah berkurangan di pasaran, ini mungkin membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencapai objektif kurang perokok di negara ini.

Walau bagaimanapun, apa yang kita khuatir ialah perokok mencari alternatif lain seperti vape bernikotin yang mudah didapati di pasaran. Ini mungkin membantutkan usaha mengembalikan kehilangan hasil cukai negara.

Langkah-langkah penguatkuasaan perlulah dipertingkat juga ke atas cecair vape bernikotin yang memasuki negara ini secara tidak sah. Kerajaan telah memperkenalkan cukai ke atas vape pada Belanjawan 2021 tetapi hanyalah kepada cecair vape yang tidak mengandungi nikotin.

Cecair vape yang mengandungi nikotin disenaraikan di bawah Senarai Racun dikawal selia di bawah Akta Racun 1952 di bawah tanggungjawab kawal selia KKM.

Dalam keadaan negara berdepan masalah ekonomi kesan daripada pandemik ini, rakyat faham keutamaan duit kerajaan sekarang ialah ke arah penyediaan rawatan kepada kes-kes positif Covid-19, termasuk membeli vaksin-vaksin.

Seiring dengan keadaan ekonomi Malaysia berusaha untuk memulih daripada krisis Covid-19, kerajaan hendaklah melakukan yang terbaik untuk melindungi hasil negara daripada berlaku ketirisan.

Dagangan rokok dan vape seludup adalah ketirisan dari segi hasil cukai tahunan sebanyak RM6 bilion yang kerajaan harus lakukan apa sahaja di dalam bidang kuasanya untuk menutup ketirisan tersebut.

Kerajaan perlulah mempertahankan dasar serta langkah-langkah yang baru dilaksanakan serta mempertajamkan lagi dasar sedia ada demi menghalang rompakan ke atas hasil negara. Jangan beri muka lagi!

Kita turut menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang terutama rokok seludup agar dapat dibanteras dengan jayanya.