X

Kindly register in order to view this article
!

Pengadil perlu bijak guna budi bicara dalam buat keputusan

Suasana tegang pertemuan antara Sri Pahang FC dan JDT di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Jumaat. -Foto MFL
A
A

PENGADIL perlu bijak menggunakan budi bicara dalam membuat sebarang keputusan melibatkan insiden yang boleh diklasifikasikan sebagai sentuhan atau tolakan daripada pemain.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, hanya pengadil yang ‘memahami situasi sebenar’ di tengah padang kerana berdepan secara langsung dengan pemain terlibat.

“Kita sebagai pihak yang berada di luar padang, tidak tahu dengan lebih jelas apa yang berlaku. Sama ada seseorang pengadil itu disentuh atau ditolak oleh pemain, kita tidak boleh terus menjatuhkan hukuman.

“Kalau tolakan kasar, pengadil kena buat keputusan terus bagi kad merah. Tapi kalau tolakan itu lebih kepada sentuhan, ia terpulang kepada budi bicara pengadil itu sendiri.

“Jika pengadil itu bijak, dia akan memberikan kad kuning bagi memastikan insiden sama tidak berulang. Pengadil kena guna budi bicara untuk tahu bagaimana sentuhan itu adakah cara kasar atau cara baik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Isu pengadilan kembali diperdebatkan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan susulan tindakan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Gonzalo Cabrera yang dilihat ‘menyentuh’ pengadil ketika aksi menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Jumaat lalu.

Situasi itu dikatakan hampir sama dengan apa yang dilakukan pemain muda Kedah Darul Aman (KDA) FC, Fadzrul Danel Mohd Nizam ketika pertemuan menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 9 April lalu.

Berbeza dengan Cabrera, Fadzrul Danel diarah keluar padang selepas dilayangkan kad merah ekoran insiden itu sehingga menjadi ‘cakap-cakap belakang’ atas keputusan tidak konsisten pengadil perlawanan.

“Bagi saya, tolak itu satu kekasaran manakala sentuh itu pula memberikan persepktif yang berbeza. Kadang-kadang orang kata tolak, tapi sebenarnya sentuh dan begitu juga sebaliknya.

“Jika seseorang pengadil itu merasakan dirinya terancam akibat dikasari, dia boleh melayangkan terus kad merah kepada pemain. Begitu juga sebaliknya dan semua ini bergantung kepada situasi pada masa kejadian.

“Jika tangan pengadil di belakang badannya dan ada pemain menyentuhnya, itu dikira tolak. Tetapi jika tangan pengadil bebas bergerak dan ada pemain menyentuhnya, itu bukan tolak. Itu namanya sentuhan,” jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!