Jangan ‘buli’ pelanggan untuk kaut untung

No Image Caption
A
A
A

PERNAHKAH anda dikenakan bayaran untuk segelas air kosong ketika menjamu selera di kedai atau restoran? Jika ya, itu bukan perkara pelik kerana sewajarnya kita membayar setiap makanan atau minuman yang dinikmati di kedai walau hanya air kosong.

Cuma yang jadi masalah apabila caj dikenakan terlalu tinggi. Atau bahasa mudahnya cekik darah! Tidak dinafikan, memang ada peniaga mengenakan bayaran tidak masuk akal kepada pelanggan.

Harga segelas air kosong bukan 30 sen atau 50 sen tapi melebihi RM1, aduhai nilainya hampir sama dengan meminum segelas teh 0 atau teh 0 ais.Perangai mahu kaut untung lebih segelintir peniaga ini dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang menjalankan Ops Catut 8.0 (air kosong) selama sembilan hari bermula 7 hingga 15 April di seluruh negara.

Selepas tiga hari operasi dilakukan, sebanyak 84 notis dikeluarkan kepada peniaga premis makanan dan minuman di seluruh negara kerana mengenakan caj air kosong melebihi RM1 segelas.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, daripada jumlah itu, Kelantan merekodkan kes paling tinggi iaitu 14 notis diikuti Selangor 12 notis manakala Sabah, Sarawak dan Johor masing-masing sebanyak lapan notis.

Menurutnya, Pahang turut mencatatkan tujuh kes, Terengganu sebanyak enam kes dan dalam tempoh tiga hari itu hanya Kedah dan Putrajaya belum merekodkan sebarang notis dikeluarkan. Semua peniaga itu menerima notis bertulis untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana disyaki wujud unsur pencatutan iaitu mengambil untung berlebihan.Peniaga terutama pengusaha restoran mewah meletakkan harga tidak munasabah pada makanan dan minuman yang dijual bukanlah perkara baharu.

Ia sudah berlarutan lama namun mereka bermaharajalela berikutan kurangnya kesedaran sebagai pengguna. Apabila pihak berkuasa mula mengambil tindakan, ia memberi signal kepada segelintir peniaga rakus bahawa mereka sebenarnya tidak kebal dan boleh dikenakan tindakan apabila adanya aduan dari pelanggan.Sebagai pengguna, kita ada hak dan laporkan sahaja mereka yang mahu untung lebih kepada KPDNHEP supaya tindakan sewajarnya boleh diambil pihak berkuasa. Inilah dinamakan kuasa pengguna.

Namun begitu, tidak semua peniaga yang fikirkan keuntungan semata-mata. Ada penjual yang mengenakan caj terlalu murah hingga kita sebagai pelanggan fikir ‘boleh untung ke jual harga macam ini?’, terutama dalam keadaan kos bahan mentah semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, pemilik Warong Pok Hassan di Wakaf Tembesu, Kuala Nerus di Terengganu masih menjual segelas tea 0 panas dengan harga 20 sen dan caj itu tidak berubah sejak dua dekad lalu.

Mohd Ridhuan Mohd Hassan yang meneruskan operasi warung itu daripada arwah bapanya, Allahyarham Mohd Hassan Yunus berkata, teh 0 panas di situ akan kekal 20 sen secawan sampai bila-bila kerana itu amanat bapanya.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, harga istimewa berkenaan adalah hadiah kepada pelanggan yang banyak menyokong perniagaan keluarganya.

Selain itu, seorang lagi peniaga di Kampung Losong Atap Zin, Kuala Terengganu iaitu Sinah Sulaiman juga hanya mengenakan harga 30 sen bagi secawan tea 0 sejak berniaga makanan dan minuman lebih 20 tahun.Harga makanan yang ditawarkan di kedua-dua warung itu juga murah dengan nasi lemak ikan bilis, ikan tongkol, mee goreng, bihun dan pulut gaul nyiur berharga antara RM1 hingga RM1.50. Walau murah mereka kata masih mampu meraih keuntungan.

Dua individu ini merupakan sebahagian daripada ribuan peniaga di negara ini yang penulis percaya masih ada mengenakan harga berpatutan pada makanan, minuman, produk dan perkhidmatan mereka tawarkan. Penjual seperti inilah yang harus disokong dan didokong. Bukan peniaga yang meletakkan harga tidak masuk akal.

Jika tidak mahu membuat amal jariah atau bersedekah sekalipun, janganlah kita sebagai peniaga ‘membuli’ dan menekan pelanggan semata-mata mahu untung lebih. Silap hari bulan bukan saja pelanggan lari, dosa pun dapat!

*Rahayu Mustafa ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Terengganu