Hayat BN terus jadi teka-teki

No Image Caption
A
A
A

DOMINASI Barisan Nasional (BN) dalam arena politik negara terbukti ampuh untuk tempoh lebih 40 tahun.

Ditunjang tiga parti utama iaitu UMNO-MCA-MIC, penguasaan koalisi perdana blok kerajaan itu bagaimanapun tidak kekal apabila kekalahan kerajaan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu pantas mengubah segala-galanya.

Hakikatnya hubungan setiakawan antara parti-parti dalam koalisi diusahakan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dirasakan semakin renggang ketika ini.

UMNO kini berdepan cabaran besar untuk mengekalkan sokongan MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta beberapa parti gabungan lain seperti Parti Cinta Malaysia (PCM), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) dan Makkal Sakti di dalam BN.

Kemuncaknya, ketetapan UMNO untuk bergerak solo bersama BN sebagaimana diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada bulan lalu, menimbulkan rasa kurang senang parti-parti komponen dalam BN terutamanya MIC.

Bermula dengan kenyataan Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran mempersoalkan keputusan UMNO yang didakwa tidak dibincangkan dahulu melalui mesyuarat Majlis Tertinggi BN.

Vigneswaran terus menambah garam pada luka UMNO apabila menjemput Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berucap pada Perhimpunan Agung MIC awal bulan ini.

Lebih mengejutkan, polemik MIC-UMNO itu seakan-akan membongkar kemelut BN apabila Majlis Tertinggi BN difahamkan sudah tidak mengadakan mesyuarat sejak setahun lalu dengan agenda mesyuarat terkini terpaksa ‘ditangguhkan’ atas faktor tidak dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

Kemelut terkini membabitkan parti-parti komponen BN dan UMNO sekali gus merungkai persoalan besar - Adakah koalisi BN kini ibarat sudah retak menanti belah dengan MIC dan MCA dikatakan sedang bersiap-sedia untuk beralih sokongan kepada PN?

Jangka hayat BN kini menjadi teka-teki apabila MIC dan MCA dikatakan bakal mengalih sokongan kepada kerajaan PN sebelum PRU15
Jangka hayat BN kini menjadi teka-teki apabila MIC dan MCA dikatakan bakal mengalih sokongan kepada kerajaan PN sebelum PRU15

Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan mengakui BN kini berdepan masalah dalaman apabila kepimpinan tertinggi MIC dan MCA sendiri seolah-olah enggan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi BN yang sepatutnya diadakan minggu lalu.

“Lebih menarik, seminggu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi BN terpaksa ditangguhkan, pucuk kepimpinan tertinggi MIC, MCA dan PBRS boleh pula berjumpa dengan Menteri Luar, Datuk Hishammuddin Tun Hussein di rumah beliau.

“Orang ramai boleh tafsir macam-macam. Tetapi bagi saya, tindakan sebegini menampakkan pucuk kepimpinan MIC, MCA dan PBRS seolah-olah tidak lagi menghormati Pengerusi BN dan Presiden UMNO sendiri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya sama ada perubahan sikap MIC dan MCA kepada UMNO adalah disebabkan desas-desus kemungkinan pembentukan jajaran politik baharu antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15, Cheng Guan tidak menolak kemungkinan itu.

Katanya, MIC dan MCA pasti akan ‘mati’ sekiranya politik jajaran baharu itu benar-benar direalisasikan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka akan terus menguasai kerusi Parlimen kawasan bandar dan separa bandar.

“Bagi saya, UMNO-MIC-MCA perlu berbincang bagi menyelesaikan kemelut dalaman BN. UMNO perlu ingat, sekiranya MCA dan MIC keluar BN, maka parti Melayu itu tidak boleh bertanding PRU15 menggunakan logo BN lagi,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh menafikan pertemuan pucuk kepimpinan parti-parti komponen BN dengan Hishammuddin di rumah Bendahari Agung BN itu pada malam Selasa mempunyai agenda tertentu.

Sebaliknya, beliau menegaskan pertemuan itu merupakan amalan biasa pemimpin-pemimpin BN terdiri Vigneswaran; Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup bersama Hishammuddin pada setiap bulan Ramadan.

Gambar pertemuan antara pemimpin parti-parti komponen BN bersama Hishamuddin (kanan) di rumah beliau pada Selasa menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan pemimpin BN sendiri.
Gambar pertemuan antara pemimpin parti-parti komponen BN bersama Hishamuddin (kanan) di rumah beliau pada Selasa menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan pemimpin BN sendiri.

Bekas juga menegaskan MIC masih kekal bersama BN walaupun parti itu menyuarakan pendirian menyokong PN.

“Secara mudah, keputusan dibuat MIC adalah selari dengan keputusan dibuat UMNO menerusi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Janda Baik pada Februari lalu.

“Bagi saya, sekarang bukan masa sesuai untuk terus berpolitik atau menggulingkan kerajaan PN, sebaliknya semua pemimpin politik kena buat kerja,” katanya.

Ditanya punca utama mesyuarat Majlis Tertinggi BN minggu lalu ‘ditangguhkan’, Sivaraajh menjelaskan beliau tidak terlibat dengan mesyuarat terbabit.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berpendapat koalisi BN masih lagi relevan, hanya sekiranya pakatan itu dianggotai oleh parti-parti komponen yang benar-benar setia dan mempunyai semangat setiakawan yang tinggi.

Katanya, hal ini kerana parti-parti komponen BN perlu mengakui UMNO sebenarnya tonggak utama kepada koalisi itu dengan mereka menjadi kuat hanya disebabkan UMNO kuat.

“Hakikatnya, sejak dahulu MIC dan MCA tidak upaya berdikari untuk memenangkan kerusi pilihan raya yang mereka tandingi dan sekarang apabila UMNO tidak lagi sekuat dahulu, mereka jadi kurang bersemangat.

“Di sebalik dakwaan UMNO menguasai BN, UMNO masih lagi menunjukkan semangat setiakawan yang tinggi kepada MCA dan MIC apabila memberikan kerusi Parlimen Tanjung Piai untuk ditandingi MCA walaupun kerusi itu majoritinya adalah pengundi Melayu.

“Begitu juga dengan MIC yang dibenarkan bertanding di kerusi majoriti pengundi Melayu dan menang dua kerusi Parlimen. Namun, malangnya kini MCA dan MIC seolah-olah hendak berpaling tadah dan cenderung kepada PN,” katanya.