Lapan lelaki ditahan bantu siasat kes gaduh di restoran

Arifai Tarawe
Arifai Tarawe
A
A
A

GOMBAK - Seramai lapan lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di sebuah restoran di Rawang di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesemua mereka berusia 23 hingga 29 tahun itu ditahan pada jam 1.30 petang hingga 8.30 malam.

"Empat lelaki ditahan ketika mereka menyerah diri, manakala empat lagi ditahan ketika mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk beri keterangan," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Arifai berkata, dalam kejadian pada jam 1 pagi itu, seorang lelaki bersama rakannya sedang minum di restoran itu, sebelum berlaku selisih faham dengan sekumpulan lelaki lain akibat ejek-mengejek antara mereka.

"Keadaan menjadi kecoh apabila kumpulan lelaki tersebut telah bertindak membaling botol kaca yang berada di atas meja ke arah pengadu dan rakan-rakannya.

"Pengadu dan rakan-rakannya turut membaling botol kaca ke arah suspek dan kemudian berlaku pergelutan antara mereka," katanya.

Menurutnya, pengadu telah mengajak rakan-rakannya untuk beredar sebelum pergaduhan menjadi lebih buruk.

"Pengadu telah mengalami cedera ringan di bahagian tangan sebelah kiri dan bahagian dada akibat kejadian tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Arifai berkata, pihaknya masih memburu beberapa suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Mohamad Ridzuan Roslan di talian 03-61262222 atau 014-6642011," katanya.