NGO alam sekitar hantar surat bantahan kepada MB Selangor

Tangkap layar surat bantahan oleh COEN yang dihantar kepada Amirudin.
Tangkap layar surat bantahan oleh COEN yang dihantar kepada Amirudin.
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Alam Sekitar (COEN) menghantar surat bantahan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari atas tindakan kerajaan negeri mencadangkan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bagi memberi ruang kepada projek pembangunan bercampur.

Menerusi surat bantahan tersebut, wakilnya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, pelaksanaan projek berkeluasan kira-kira 930.93 hektar itu bukan sahaja merupakan pelanggaran hak asasi manusia dari segi hak tanah tetapi juga hak manusia untuk hidup di persekitaran yang bersih dan selamat.

“Dengan itu ditegaskan supaya kerajaan negeri mesti mempertahankan status warta HSKLU agar dikekalkan dan dipelihara dengan baik supaya khazanah alam tidak terjejas untuk masa akan datang.

“Saya dan COEN tidak bersetuju dengan alasan kerajaan negeri Selangor untuk mengadakan hutan ganti setelah penyahwartaan hutan tersebut,” katanya menerusi surat berkenaan yang bertarikh 14 April 2021.

Shariffa Sabrina yang juga Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berkata, cadangan untuk mengadakan hutan ganti selepas penyahwartaan HSKLU menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak memiliki kefahaman jelas berkenaan sifat dan keadaan semula jadi biodiversiti tempatan.

“Ini kerana HSKLU merupakan salah satu daripada hutan paya gambut yang begitu sedikit masih wujud di bahagian selatan negeri Selangor dengan kepelbagaian tinggi dalam spesies unik.

“Cadangan bahawa hutan ‘boleh ditukar’ dan boleh ‘dipotong dan ditampal’ (cut and paste) kepada empat kawasan hutan ganti yang lain menunjukkan bahawa kekurangan pemahaman Menteri Besar Selangor mengenai hubung kait antara hutan dengan hidrologi serta biodiversiti tempatan.

“Ini (pembangunan di HSKLU) akan mendatangkan perubahan yang jelas kepada iklim di kawasan ini, spesies yang hidup di hutan ini dan komuniti yang tinggal berdekatan dengan hutan ini,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Surat bantahan oleh gabungan COEN yang terdiri daripada 23 NGO alam sekitar itu turut dihantar kepada beberapa pemimpin parti komponen kerajaan negeri Selangor.

Antara pemimpin yang menerima surat tersebut ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo.