Kawal pelanggan di gerai terlajak laris

Annuar (tiga dari kanan) meninjau keadaan bazar Ramadan di Pasar Keramat, Kuala Lumpur pada Ahad.
Annuar (tiga dari kanan) meninjau keadaan bazar Ramadan di Pasar Keramat, Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa meminta jawatankuasa bazar Ramadan mencari jalan mengawal pengunjung di gerai-gerai yang menjadi tumpuan pelanggan atau 'terlajak laris' jualannya.

Annuar ketika meninjau bazar Ramadan di Pasar Keramat, di sini pada petang Ahad berkata, pihaknya berpuas hati dengan operasi bazar berkenaan cuma terdapat beberapa aspek perlu diperbaiki bagi meningkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh peniaga dan pengunjung.

Beliau mencadangkan kaedah nombor giliran digunakan di gerai-gerai yang ramai pembeli, bagi mengawal pengunjung dan mengelak kesesakan.

"Mungkin boleh dipertimbangkan penggunaan nombor giliran. Pembeli ambil nombor dan boleh tunggu di luar khemah.

"Kalau nak beratur pun biarlah setakat 10 orang sahaja, kemudian giliran baharu pula masuk. Kalau tidak dilakukan sesuatu, bazar akan hadapi masalah bersesak-sesak dan itu tak seharusnya kita biarkan," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan sekitar jam 5 petang.

Bagaimanapun katanya, perkara itu diserahkan kepada pihak jawatankuasa bazar untuk berunding dengan peniaga secara anak-beranak.

"Saya pun bukan nak larang, halang atau marah tetapi hendak menggalakkan SOP di Wilayah Persekutuan dilaksanakan berasaskan pematuhan kendiri.

"Walaupun begitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kena terus beri kesedaran (public announcement) penjarakan fizikal dan pematuhan SOP melalui pembesar suara di sesetengah tempat untuk peringatan bersama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau tidak menolak kemungkinan penutupan bazar sekiranya berlaku 'outbreak' atau kluster bazar dilaporkan namun menegaskan itu adalah pilihan yang terakhir.

"Perkara itu kita akan rujuk dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan membuat penilaian risiko. Kita mengambil nasihat dan kita akan patuh apa juga arahan dikeluarkan KKM.

"Kita seberapa boleh nak menggalakkan peniaga terus berniaga sehingga habis Ramadan. Saya doakan tidak ada 'outbreak' kes bazar Ramadan. Itu harapan kita," katanya.